Selangor percepat penyelesaian isu hak milik strata tertangguh

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari merasmikan Majlis Penyerahan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Strata Negeri Selangor Program Spark hari ini./ BERNAMA

KLANG, 17 September – Kerajaan Negeri Selangor memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan penyelesaian isu hak milik strata yang masih tertangguh, khususnya membabitkan projek perumahan lama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Punca tertangguh: pemaju tidak beroperasi menyebabkan urusan pemilikan tergendala.
  • Sejak 2025 kerajaan negeri memperuntukkan bantuan untuk menangani pemilikan strata tertangguh.
  • Kerajaan akan menyediakan solusi lebih pantas dan kaedah penyelesaian berkesan dalam penggal ini.
  • Cadangan meningkatkan peruntukan Program CERIA tahun depan bagi penambahbaikan, penyelenggaraan dan kualiti persekitaran strata.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, masalah berkenaan antara lain berpunca daripada pemaju yang sudah tidak lagi beroperasi, sekali gus menyebabkan urusan pemilikan rumah penduduk tergendala.

Menurutnya, kerajaan negeri sejak 2025 memperuntukkan bantuan bagi menangani isu perumahan serta pemilikan hak milik strata yang tertangguh, dengan pelbagai rekod lama masih perlu diselesaikan.

“Dalam tempoh dua tahun daripada 2025 hingga 2026, kerajaan negeri mula memperuntukkan untuk membantu perumahan dan pemilikan hak milik strata yang tertangguh dan mempunyai banyak rekod yang perlu kita selesaikan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut berusaha menyediakan kaedah penyelesaian yang lebih pantas dan berkesan bagi menangani isu kegagalan pemilikan strata.

“Dalam penggal ini kita akan cuba menyediakan satu solusi yang lebih pantas dan kaedah penyelesaian yang lebih baik ke atas kegagalan pemilikan hal-hal pemilikan strata yang tertangguh,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Strata Negeri Selangor 2026 di Klang.

Pada masa sama, kerajaan negeri bercadang meningkatkan peruntukan Program CERIA tahun depan bagi membolehkan lebih banyak kawasan perumahan strata menerima bantuan untuk kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan kemudahan.

Langkah itu dijangka membantu meningkatkan kualiti persekitaran serta kemudahan di kawasan perumahan strata, selain memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.