
KUCHING, 17 September – Sejumlah RM6.4 juta nilai rampasan diesel bersubsidi direkodkan membabitkan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) seluruh negara sejak tahun 2024.
- Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) jalankan 10 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
- Tiga kes di Sarawak melibatkan rampasan RM35,000 dan kompaun RM67,000.
- Semua kes selesai di mahkamah dengan jumlah denda RM1.7 juta.
- PJD Tanjong Bako terima 1.228 juta liter sebulan untuk 149 vesel; Sarawak ada 17 PJD, kuota 7 juta liter sebulan.
Angka itu menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Dr. Fuziah Salleh, hasil daripada 10 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu).
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, tiga kes melibatkan PNK di Sarawak dengan nilai rampasan RM35,000 dan kompaun sebanyak RM67,000.
“Kesemua kes telah selesai di mahkamah melibatkan denda keseluruhan berjumlah RM1.7 juta,” jelasnya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima taklimat dan lawatan ke Pusat Jualan Diesel (PJD) Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Tanjong Bako di sini.
“PJD berkenaan menerima 1.228 juta liter sebulan untuk diagihkan kepada 149 vesel.
Di Sarawak, terdapat 17 PJD seumpamanya yang menerima kuota diesel bersubsidi sebanyak 7 juta liter sebulan,” tambah beliau lagi.