Kementerian Perpaduan sasar 80 peratus golongan muda sertai program perpaduan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 September – Kementerian Perpaduan Negara menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus golongan muda menyertai program-program perpaduan sebagai usaha membentuk generasi yang memahami dan menghargai kepelbagaian masyarakat negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif melibatkan muzium, Arkib Negara dan Jabatan Perpaduan untuk melibatkan golongan muda.
  • Program Bermalam di Muzium 2026 memberi pengalaman langsung kepada pelajar menghayati sejarah dan artifak.
  • Pendekatan 'Faham, Hormat, Terima dan Meraikan' diperkukuh untuk memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian agama, bangsa dan budaya.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) kementerian itu, Mohamad Sobri Mat Daud berkata, sasaran berkenaan dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif melibatkan golongan muda, termasuk program anjuran muzium, Arkib Negara Malaysia dan Jabatan Perpaduan.

Katanya, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan generasi muda bukan sahaja memahami konsep perpaduan, malah dapat menghayati sejarah dan kepelbagaian negara secara langsung.

“Sememangnya dari segi pelaburan, setiap tahun kita cuba usaha dapatkan peruntukan yang bersesuaian, Jadi bila ada program yang mencukupi untuk anak-anak muda, kita nak seluruh negara mungkin dalam 80 peratus orang muda belia ni pernah menyertai program-program perpaduan,” katanya selepas Majlis Penutupan Program Bermalam Di Muzium Negara 2026 di sini pada Rabu.

Antara inisiatif berkenaan ialah Program Bermalam di Muzium 2026, yang berlangsung serentak di 32 muzium seluruh negara.

Program bagi edisi tahun 2026 ini mencatatkan penyertaan seramai 2,373 pelajar.

Mohamad Sobri berkata, program tersebut bukan sekadar memberi pengalaman kepada pelajar bermalam di muzium, sebaliknya membuka ruang untuk mereka menghayati sejarah menerusi pendedahan secara langsung kepada artifak dan warisan negara.

“Dengan adanya program sedemikian dan melihat sendiri warisan negara, kita akan merasa satu hati walaupun berbeza bangsa dan agama,” katanya.

Menurutnya, pengalaman itu turut membantu membina jati diri dan keyakinan diri, selain merapatkan hubungan antara pelajar pelbagai kaum.

Tambahnya, pendedahan itu diharap dapat meningkatkan penghargaan generasi muda terhadap muzium sebagai institusi yang bukan sahaja menyimpan artifak sejarah, malah memelihara dan menyebarkan ilmu mengenai warisan negara.

Dalam pada itu, kementerian turut memperkukuh usaha memupuk perpaduan menerusi pendekatan ‘Faham, Hormat, Terima dan Meraikan’.

Katanya, golongan muda perlu memahami perbezaan agama, bangsa dan budaya, sebelum menghormati serta menerima kepelbagaian itu sebagai sebahagian daripada kehidupan dalam sebuah negara Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.