Lonjakan titik panas di Kalimantan, Malaysia sedia hulur bantuan

Foto Facebook Arthur Joseph Kurup

KOTA KINABALU, 15 September – Malaysia menyatakan kesediaan untuk menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan yang berpotensi mencetuskan jerebu rentas sempadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lonjakan titik panas di Kalimantan meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan.
  • Malaysia menawarkan aset termasuk kapal terbang waterbombing serta menghantar agensi dan anggota operasi pemadaman.
  • Penganjuran acara awam mesti disesuaikan ikut tahap jerebu; pertunjukan bunga api tidak dibenarkan apabila jerebu meningkat.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pihaknya telah mengadakan beberapa perbincangan dengan Menteri Lingkungan Hidup Indonesia bagi membincangkan perkara tersebut.

Tawaran itu dibuat Malaysia susulan jumlah titik panas di Kalimantan melonjak kepada 808 pada Isnin, hampir tiga kali ganda berbanding tiga hari sebelumnya.

“Kita nampak kebanyakan ‘hotspot’ tersebut berada di rantau Kalimantan yang kebanyakan masalah kebakaran secara terbuka sedang
berlaku.

“Malaysia boleh menawarkan beberapa aset udara untuk operasi pemadaman kebakaran menggunakan teknik ‘waterbombing’. Ini termasuk menghantar agensi kita bagi menambah bilangan anggota operasi,” katanya.

Beliau ditemui media selepas Sesi Bersama Pemimpin Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2026/2027 di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Arthur berkata sebarang penganjuran acara terbuka ketika keadaan jerebu perlu disesuaikan mengikut tahap jerebu semasa selaras Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).

“Tindakan itu penting sebagai langkah berjaga-jaga termasuk mengurangkan pendedahan orang ramai khususnya apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

“Pertunjukan bunga api adalah tidak dibenarkan dalam usaha mengurangkan risiko kesihatan orang ramai sekiranya keadaan jerebu kembali meningkat,” tegasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.