
BEIJING, 15 September – China mula melaksanakan sekatan perjalanan lebih ketat terhadap rakyatnya, termasuk larangan keluar negara bagi individu yang dianggap boleh mengancam keselamatan industri atau teknologi negara.
- Individu yang melanggar peraturan import dan eksport teknologi boleh dikenakan larangan meninggalkan negara.
- Aktiviti haram di luar negara boleh menyebabkan larangan keluar selama enam bulan hingga tiga tahun selepas pulang.
- Peraturan diumum Julai, berkuat kuasa Selasa, bertujuan melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan negara.
- Penganalisis bimbang definisi keselamatan dan jenayah samar memberi kuasa luas kepada pihak berkuasa.
Menurut Majlis Negara China, individu yang melanggar peraturan import dan eksport teknologi boleh dikenakan larangan meninggalkan negara.
Mereka yang melakukan aktiviti haram di luar negara pula boleh dilarang keluar China selama enam bulan hingga tiga tahun selepas kembali ke negara itu.
Peraturan baharu yang diumumkan pada Julai lalu itu berkuat kuasa Selasa, bagi melindungi kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan negara.
Langkah berkenaan dilihat semakin signifikan ketika China dan Amerika Syarikat bersaing dalam bidang teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI).
Penganalisis bagaimanapun memberi amaran, peraturan itu memberikan kuasa yang luas kepada pihak berkuasa kerana aktiviti berkaitan keselamatan dan jenayah boleh ditafsirkan secara samar.
Pensyarah Universiti Nasional Singapura, Chong Ja Ian, berkata hanya kes pelaksanaan sebenar kelak akan menunjukkan sejauh mana kuasa tersebut digunakan.
Beliau turut merujuk kes warga Amerika Syarikat, Min Zin, yang menurut Washington ditahan pihak berkuasa China di Yunnan pada 3 Jun, manakala Beijing menafikan dakwaan berkenaan dan menyatakan lelaki itu disyaki melanggar undang-undang China.
Sementara itu, Profesor Madya Universiti Teknologi Nanyang, Dylan Loh, berkata sekatan itu memberi mesej bahawa China akan mengambil tindakan bagi menghalang kebocoran maklumat berkaitan keselamatan atau kepentingan nasional.-AFP