
MALE, 15 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sambutan rasmi penuh istiadat di Republic Square, di sini, sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Maldives.
- Datuk Seri Anwar disambut Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu, semasa ketibaan di Izzudeen Jetty.
- Sambutan rasmi termasuk tabik hormat, 21 das meriam, Lagu Negaraku dan lagu kebangsaan Maldives serta pemeriksaan kawalan kehormatan.
- Kedua pemimpin akan mengadakan pertemuan empat mata di Pejabat Presiden bagi membincangkan kerjasama dua hala dan bidang baharu.
Ketibaan Datuk Seri Anwar di Izzudeen Jetty disambut Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu sebelum beliau dibawa ke lokasi sambutan rasmi.
Sebaik tiba, Perdana Menteri menerima tabik hormat di pentas utama, sebelum sambutan diteruskan dengan tembakan meriam sebanyak 21 das oleh Angkatan Pertahanan Kebangsaan Maldives (MNDF).
Lagu Negaraku kemudian dimainkan, disusuli lagu kebangsaan Maldives, sebelum Datuk Seri Anwar memeriksa kawalan kehormatan anggota MNDF.
Pada sambutan sama, Perdana Menteri diperkenalkan kepada barisan menteri dan pegawai kanan kerajaan Maldives sebelum beliau pula memperkenal delegasi Malaysia kepada Mohamed Muizzu.
Delegasi Malaysia disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.
Sambutan rasmi turut diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh 12 pelajar sekolah serta perarakan budaya yang diiringi paluan gendang tempatan dan adat tradisional.
Sejurus selesai, kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan pertemuan empat mata di Pejabat Presiden bagi membincangkan kerjasama dua hala serta meneroka potensi dalam bidang baharu.