
KUALA LUMPUR, 13 September – Lebih 13,000 pengunjung menghadiri Hari Terbuka Parlimen Malaysia (HTPM) 2026 sekali gus mencerminkan minat rakyat yang positif terhadap pengelolaan pentadbiran negara.
- Jumlah pengunjung melebihi jangkaan, kata Yang Dipertua Dewan Negara.
- Rakyat berbilang kaum dan pelawat luar negara hadir, menunjukkan minat terhadap Parlimen.
- Kunjungan mendekatkan rakyat dengan institusi Parlimen dan mencerminkan amalan demokrasi Rukun Negara.
- HTPM tawar aktiviti pendidikan, lawatan Dewan Negara dan Dewan Rakyat; 59 reruai terima sijil penghargaan.
Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berkata, jumlah yang diterima menerusi penganjurannya sejak Sabtu itu melebihi daripada jangkaan.
“Saya berasa sangat terharu melihat rakyat berbilang kaum, termasuk dari luar negara, yang hadir berkunjung ke sini.
“Ini menunjukkan bahawa rakyat masih memberi perhatian kepada Parlimen, dan perkara ini sangat penting kerana Parlimen ibarat rumah rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Hari Terbuka Parlimen Malaysia (HTPM) 2026 di ibu negara hari ini.
Kunjungan rakyat ke Parlimen dapat mendekatkan mereka dengan institusi itu, selain mencerminkan amalan demokrasi negara yang berteraskan Rukun Negara.
Penganjuran itu menawarkan pelbagai aktiviti kepada orang ramai, termasuk peluang mengenali sejarah, fungsi dan peranan Parlimen dengan lebih dekat serta peluang untuk melihat ruang persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat kompleks tersebut dengan lebih dekat.
Sebanyak 59 reruai merangkumi agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) telah diberi sijil penghargaan atas komitmen padu dan kerjasama strategik bagi menjayakan program tersebut.