
KUALA LUMPUR, 13 September – Semangat kebersamaan masyarakat diperkukuh menerusi Program Satelit Khas Kenduri Rakyat MADANI 2026 Parlimen Bandar Tun Razak, yang diadakan di Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan, di sini, semalam.
- Lebih 1,000 peserta bergotong-royong menyediakan pelbagai hidangan, menghidupkan konsep kenduri rakyat di kawasan bandar.
- Program anjuran JAPEN WPKLP menampilkan Jualan RAHMAH MADANI dan Jualan Agro MADANI, tawarkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.
- Kehadiran Datuk Seri Dr Wan Azizah merapatkan hubungan pemimpin dengan masyarakat berbilang kaum dan menggembirakan penduduk.
Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 5 bagi Parlimen Bandar Tun Razak, Mohamad Mahathir Mohamed Younos berkata program itu menyaksikan penglibatan lebih 1,000 peserta.
Menerusi aktiviti Rewang Sekampung, peserta bergotong-royong menyediakan pelbagai jenis hidangan.
“Kita bawa satu konsep kenduri rakyat tetapi kita buat di kawasan bandar sebab kita nak hidupkan semula suasana sewaktu kita di kampung, ada acara rewang dan pelbagai aktiviti yang disediakan oleh agensi kerajaan. Kita nak perkukuhkan silaturahim antara penduduk,” katanya.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) menerusi JAPEN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP) itu turut mengetengahkan beberapa inisiatif kerajaan antaranya Jualan RAHMAH MADANI dan Jualan Agro MADANI.
Mohamad Mahathir menyifatkan, inisiatif berkenaan memberi peluang kepada penduduk mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
“Kita memang mengharapkan program-program seperti ini dapat diteruskan lagi di lokasi-lokasi bersesuaian, terutamanya di kawasan begini, di pangsapuri, di kawasan strata selain perkampungan yang ada di Wilayah Persekutuan ini,” katanya.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir merasmikan program tersebut.
Bagi penduduk, kehadiran isteri Perdana Menteri itu bukan sahaja menggembirakan mereka, malah dapat mengeratkan hubungan antara pemimpin dengan masyarakat berbilang kaum.