
KUALA LUMPUR, 12 September – Pertumbuhan ekonomi yang positif diyakini memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka panjang menerusi peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan hidup
- Manfaat pertumbuhan ambil masa dirasai dan boleh berlaku serentak dengan tekanan kos sara hidup.
- Pertumbuhan berterusan membuka peluang pekerjaan dengan gaji lebih tinggi, membantu rakyat menampung kos sara hidup.
- Bantuan fiskal penting tetapi mesti disokong pelaburan, pembangunan PMKS dan peluang ekonomi untuk perluaskan manfaat pertumbuhan.
Pengarah Program MBA Putra Business School, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, manfaat pertumbuhan ekonomi bagaimanapun mungkin mengambil masa untuk dirasai secara menyeluruh, menyebabkan keadaan itu boleh berlaku serentak dengan tekanan kos sara hidup yang masih dihadapi rakyat.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi yang berterusan mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi, sekali gus membantu rakyat mendepani peningkatan kos sara hidup.
“Apabila ekonomi berterusan berkembang, hasil manfaatnya akan turun kepada rakyat, tetapi yang akan masuk dalam bentuk seperti pekerjaan yang menjanjikan gaji lebih tinggi, peluang pekerjaan lebih banyak.
“Bila pendapatan itu meningkat, walaupun berlaku peningkatan kos sara hidup, peningkatan gaji yang tinggi itu membolehkan mereka mampu mendepani kos sara hidup,” katanya kepada RTM.
Dalam pada itu, Prof. Dr. Ahmed Razman berkata bantuan fiskal secara langsung kepada golongan tertentu masih penting, namun pendekatan berkenaan perlu disokong dengan usaha mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.
Katanya, kemasukan pelaburan yang menawarkan pekerjaan bergaji lebih tinggi, selain pembangunan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), penting bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat diperluaskan.
“Melalui pelaburan yang masuk yang menjanjikan banyak peluang pekerjaan, menjanjikan gaji yang lebih tinggi dan juga membangunkan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), supaya mereka juga dapat bersaing di peringkat global.
“Mewujudkan lebih banyak peluang mengambil pekerja dan mengembangkan perniagaan mereka itu sendiri, dan memastikan bahawa ekonomi domestik ini kekal berdaya saing,” katanya.