
KUCHING, 9 September – Sarawak bakal menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada setiap keluarga petugas yang terlibat dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, semalam.
- Kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak mangsa melalui Yayasan Sarawak.
- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju bantuan disalurkan untuk meringankan beban keluarga dan waris.
- Tanggungan yuran mencerminkan penghargaan terhadap pengorbanan petugas yang memberi perkhidmatan kepada masyarakat pedalaman.
- CAAM memaklumkan helikopter BO-105 membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Long Lellang STOLport, Ulu Baram.
Menerusi kenyataan kerajaan negeri melalui media sosial Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menyebut kerajaan negeri juga bakal menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak-anak mangsa yang masih bersekolah melalui Yayasan Sarawak.
“Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju agar bantuan disalurkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri bertujuan membantu meringankan beban keluarga dan waris terlibat.
“Tanggungan penuh yuran pendidikan itu turut mencerminkan penghargaan kepada pengorbanan para petugas berkenaan yang telah memberikan perkhidmatan kepada rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman,”kata kenyataan itu.
Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.