
KANGAR, 8 September – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, Julai lalu.
- Didakwa merogol remaja perempuan 15 tahun di Sanglang, Simpang Empat kira-kira jam 2 pagi pada 18 Julai.
- Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
- Mahkamah membenarkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan; kes ditetapkan sebutan semula 9 Oktober.
- Di Mahkamah Majistret, lima remaja 15 hingga 17 tahun mengaku bersalah merogol berkumpulan, didakwa mengikut Seksyen 375B, hukuman 10 hingga 30 tahun.
Tertuduh, Muhammad Nabil Naufal Rosli, 18, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun satu bulan di Sanglang, Simpang Empat, kira-kira jam 2 pagi, 18 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Oktober depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Alif Farhan Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian dan Zuhair Ahmad Zakuan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kangar, lima remaja lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan merogol secara berkumpulan remaja perempuan sama di lokasi yang sama pada 18 dan 19 Julai lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.