Sekatan perdagangan : Cuba rugi lebih USD8 bilion

Jumlah kerugian belum mengambil kira kesan sekatan terhadap sektor tenaga dan sekatan sekunder/Foto AFP

HAVANA, 8 September – Cuba mengalami kerugian lebih USD8 bilion pada 2025, akibat sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat (AS), meningkat tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerugian ekonomi dilaporkan meningkat tujuh peratus tahun ke tahun; angka itu belum termasuk kesan sekatan terhadap sektor tenaga dan sekatan sekunder.
  • Havana menyalahkan sekatan AS sebagai punca utama krisis, manakala Washington menyalahkan kelemahan pengurusan dalaman Cuba.
  • Penduduk mengalami gangguan bekalan elektrik serta kekurangan makanan dan bahan api; Cuba tetap sedia rundingan walaupun hubungan tidak maju.

Menteri Luar, Bruno Rodriguez memaklumkan angka kerugian itu belum mengambil kira kesan sekatan terhadap sektor tenaga serta sekatan sekunder yang dikenakan ke atas beberapa entiti.

Malah, Rodriguez turut mendakwa keadaan menjadi lebih buruk selepas pentadbiran Presiden Donald Trump mengenakan sekatan terhadap bekalan minyak Cuba.

Havana menyifatkan sekatan AS sebagai punca utama krisis ekonomi negara itu, manakala Washington pula mengaitkannya dengan ‘kelemahan’ pengurusan dalaman Cuba.

Kekurangan tenaga telah mengakibatkan gangguan bekalan elektrik secara besar-besaran sehingga mengakibatkan sesetengah lokasi menerima bekalan elektrik hanya beberapa jam sehari.

Sekatan berkenaan juga mengakibatkan penduduk berdepan dengan masalah kekurangan makanan, bekalan air serta kesihatan yang semakin membimbangkan.

Rodriguez bagaimanapun menegaskan Cuba masih bersedia untuk mengadakan rundingan bersama AS, walaupun tiada sebarang perbincangan ditetapkan ketika ini.

Cuba telah dikenakan sekatan perdagangan oleh Washington sejak 1962, namun tekanan terhadap Havana semakin meningkat sejak Presiden Donald Trump kembali mengetuai pentadbiran AS.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.