
MOSCOW, 7 September – Rusia dan Korea Utara pada Isnin mengadakan upacara pembukaan jambatan jalan raya pertama yang merentasi sempadan kedua-dua negara.
- Jambatan direka untuk menampung pertambahan trafik barangan dan penumpang, kapasiti sehingga 300 kenderaan sehari.
- Rusia dan Korea Utara meningkatkan kerjasama ketenteraan dan ekonomi sejak operasi Rusia di Ukraine.
- Perjanjian pertahanan 2024 termaktub bantuan bersama, dan Korea Utara menghantar anggota tentera ke Rusia.
Jambatan baharu yang merentasi Sungai Tumen itu direka bagi menampung pertambahan trafik barangan dan penumpang dengan kapasiti sehingga 300 kenderaan sehari, menurut kerajaan Rusia.
“Pembukaan laluan jalan raya pertama ini akan terus mengukuhkan hubungan antara negara kita yang bersahabat,” kata Perdana Menteri Rusia Mikhail Mishustin menerusi pautan video pada majlis berkenaan.
Rakaman video oleh kerajaan Rusia menunjukkan lori dari kedua-dua negara melintasi jambatan itu, manakala orang ramai yang berbaris di sepanjang jalan memberikan tepukan.
Rusia dan Korea Utara meningkatkan kerjasama ketenteraan dan ekonomi secara ketara sejak Moscow melancarkan operasi ketenteraannya di Ukraine.
Korea Utara menghantar ribuan anggota tenteranya ke Rusia pada 2024 bagi membantu menangkis serangan Ukraine di wilayah Kursk menyaksikan Kyiv menuduh Moscow menggunakan peluru berpandu Korea Utara dalam serangan berterusan pada waktu malam.
Kedua-dua negara turut menandatangani perjanjian pertahanan pada 2024 yang memperuntukkan bantuan bersama sekiranya salah satu negara diserang.
Korea Utara, antara negara paling terasing dan mempunyai kawalan ketat di dunia, mengehadkan kebanyakan rakyatnya daripada meninggalkan negara itu selain mengenakan pemantauan ketat terhadap pelawat yang masuk.
Jumlah pelancong Rusia ke negara itu meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun Pyongyang kadangkala menutup sempadannya tanpa notis awal.
Rusia dan Korea Utara sebelum ini telah mempunyai hubungan pengangkutan melalui rangkaian kereta api dan udara. – AFP