
BAYAN LEPAS, 5 September – Sebanyak 11 inisiatif baharu serta penambahbaikan dikemukakan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
- Membantu syarikat Malaysia, terutamanya PKS, menembusi pasaran baharu termasuk negara Asia Tengah seperti Kazakhstan dan Uzbekistan.
- Menggalakkan industri tempatan menaik taraf teknologi dari nilai rendah ke nilai tinggi dan beralih dari back end ke front end.
- Merancakkan industri semikonduktor sebagai sektor pertumbuhan bernilai tinggi untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata penekanan diberi kepada pelaburan strategik yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada masa depan.
Antaranya mencadangkan peruntukan bagi membantu syarikat Malaysia, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), menembusi pasaran baharu di negara yang kurang diterokai sebelum ini.
“Kita nak membawa eksport produk buatan Malaysia ke luar negara, terutamanya negara Asia Tengah seperti Kazakhstan dan Uzbekistan.
“Selain itu, kita ada program menggalakkan industri tempatan mengeluar dan menaik taraf teknologi mereka daripada nilai rendah kepada nilai tinggi, daripada ‘back end’ kepada ‘front end’,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Program MADANI Kita di SMK Sungai Nibong, di sini.
Mengulas lanjut, Sim berkata, usaha merancakkan industri semikonduktor sebagai sektor pertumbuhan dan bernilai tinggi turut diberi tumpuan.
Langkah itu diyakini mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.