Angka kematian banjir Nepal-China cecah 1,066 orang

Anggota keselamatan menjalankan pengebumian beramai-ramai mangsa banjir yang belum dikenal pasti di Kathmandu, Nepal/Foto AFP

KATHMANDU, 2 September – Angka kematian akibat banjir besar dan tanah runtuh di Nepal-China meningkat kepada 1,066 orang, manakala 4,462 lagi masih hilang .

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan penyelamat mengorek, menggerudi dan memecahkan runtuhan untuk menyelamat kira-kira 100 pekerja loji hidroelektrik terperangkap dalam beberapa terowong.
  • Hanya mayat ditemukan dalam terowong berlumpur dan peluang menemukan mangsa terselamat semakin tipis.
  • Media China lapor 16 maut dan 546 hilang di Tibet; lebih 2,000 anggota bantu operasi menyelamat dan pemulihan.
  • Nepal mula mengebumikan ratusan mayat belum dikenal pasti selepas pengambilan sampel DNA; menteri gesa sokongan antarabangsa sebagai amaran perubahan iklim.

Di Nepal, sebanyak 1,050 mayat telah ditemukan manakala 3,916 orang masih dilaporkan hilang.

Pasukan penyelamat Nepal bertungkus-lumus mengorek, menggerudi dan memecahkan runtuhan dalam usaha menyelamat kira-kira 100 pekerja loji jana kuasa hidroelektrik yang dipercayai terperangkap dalam beberapa terowong.

Bagaimanapun, setakat ini hanya mayat ditemukan dari terowong yang dipenuhi lumpur, dengan peluang untuk menemukan mangsa terselamat semakin tipis.

Menteri Luar Nepal, Shisir Khanal berkata pihaknya masih berharap sebahagian daripada ribuan individu yang hilang dapat ditemukan dalam keadaan selamat.

“Keajaiban memang berlaku. Pada ketika ini, saya tidak mahu berputus asa sepenuhnya,” katanya kepada AFP.

Anggota keselamatan meletakkan bekas bertanda nombor berhampiran mayat mangsa banjir yang belum dikenal pasti di Kathmandu, Nepal/Foto AFP

Sementara itu, media kerajaan China melaporkan 16 orang maut dan 546 lagi masih hilang di Tibet.

Lebih 2,000 anggota membantu operasi menyelamat di China termasuk mencari mangsa, membaiki jalan, memasang stesen komunikasi sementara dan memulihkan bekalan elektrik.

Bencana itu berlaku selepas keruntuhan glasier di kawasan altitud tinggi mencetuskan aliran besar air, batu dan runtuhan yang memusnahkan penempatan serta merosakkan infrastruktur di sepanjang laluannya.

Sekurang-kurangnya 17 mayat turut ditemukan di sungai di hilir di India.

Pihak berkuasa Nepal turut mula mengebumikan ratusan mayat yang belum dikenal pasti selepas proses pengambilan sampel DNA dijalankan.

Bencana itu turut menyebabkan jalan raya dan puluhan jambatan musnah, manakala beberapa loji jana kuasa turut rosak.

Menteri Luar Nepal menyifatkan bencana berkenaan sebagai amaran terhadap risiko perubahan iklim yang dihadapi negara itu.

Beliau turut menggesa sokongan antarabangsa dilihat dari perspektif keadilan iklim. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.