Rudiger gantung kasut bola di arena antarabangsa

Foto AFP

BERLIN, 2 September – Pertahanan Jerman, Antonio Rudiger, mengumumkan persaraan daripada arena antarabangsa selepas kali terakhir beraksi bersama pasukan kebangsaan pada Piala Dunia FIFA 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mencatat 86 penampilan bersama skuad kebangsaan Jerman.
  • Dibina melalui akademi Borussia Dortmund dan Stuttgart, kemudian ke Roma dan Chelsea; bantu menjuarai Liga Juara Eropah 2021.
  • Sertai Real Madrid 2022; bantu menjuarai Liga Juara Eropah dan La Liga 2024; kini memberi tumpuan penuh kepada kelab.
  • Tempoh Rudiger bersama Jerman menyaksikan pasukan melalui dekad kurang memberangsangkan, termasuk tersingkir awal Piala Dunia 2018 dan 2022.

Pemain berusia 33 tahun itu membuat 86 penampilan bersama skuad Die Mannschaft yang juga juara dunia sebanyak empat kali.

“Selepas membuat pertimbangan, tiba masanya untuk saya menamatkan karier bersama pasukan kebangsaan dan memberi laluan kepada generasi muda,” kata Rudiger menerusi hantaran di media sosial.

Rudiger membuat penampilan sulung di peringkat antarabangsa pada 2014, sebulan sebelum Jerman menjuarai Piala Dunia, namun tidak disenaraikan dalam skuad yang beraksi di Brazil.

Pemain pertahanan tengah itu berkata, beliau mahu memberi tumpuan kepada kelabnya, Real Madrid, yang masih mempunyai baki kontrak sehingga akhir musim ini.

“Kini bermula bab baharu buat saya, dengan tumpuan sepenuhnya diberikan kepada kelab,” katanya.

Pemain kelahiran Berlin itu melalui sistem pembangunan remaja Borussia Dortmund dan Stuttgart sebelum berhijrah ke Roma dan kemudian Chelsea pada 2017, dengan membantu kelab itu menjuarai Liga Juara Eropah pada 2021.

Beliau menyertai Real Madrid pada 2022 dan turut membantu kelab gergasi Sepanyol berkenaan menjuarai Liga Juara Eropah dan La Liga pada 2024.

Tempoh Rudiger menerajui benteng pertahanan Jerman menyaksikan pasukan gergasi tradisional itu melalui dekad yang kurang memberangsangkan.

Jerman tersingkir di peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2018 dan 2022, sebelum terkandas di pusingan 32 terbaik selepas tewas kepada pasukan bukan pilihan, Paraguay, pada 2026 yang juga perlawanan terakhir Rudiger bersama Jerman.

“Walaupun kami gagal meraih kejuaraan utama dalam beberapa kejohanan terakhir dan terpaksa melalui beberapa kekalahan yang menyakitkan, tempoh ini merupakan satu bab yang amat istimewa buat saya dan akan membentuk diri saya untuk selama-lamanya,” kata Rudiger.

Pencapaian terbaiknya di peringkat antarabangsa adalah ketika membantu Jerman menjuarai Piala Konfederasi pada 2017.

Tempoh Rudiger bersama Dortmund turut menyaksikan beliau berada bawah kendalian jurulatih baharu Jerman, Jurgen Klopp, namun pemain pertahanan itu tidak pernah membuat penampilan bersama skuad utama kelab berkenaan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.