
PUTRAJAYA, 1 Sept – Wisma Putra mengambil maklum laporan mengenai seorang individu yang dikaitkan dengan satu kumpulan terjejas bencana banjir kilat di Nepal.
- Wisma Putra melalui Kedutaan Malaysia di Kathmandu sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa Nepal.
- Kementerian tidak akan berspekulasi sementara menunggu proses pengesahan diselesaikan.
- Maklumat disahkan akan disampaikan kepada waris dan umum, media diminta menghormati privasi keluarga.
Menerusi satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan usaha mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa Nepal sedang dibuat oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.
Bagaimanapun, pihak kementerian tidak akan membuat sebarang spekulasi berhubung perkara berkenaan sementara menunggu proses pengesahan yang masih berjalan sehingga kini.
“Kementerian terus mengutamakan penyaluran maklumat yang telah disahkan mengenai kes individu secara langsung kepada waris,” tegasnya.
Wisma Putra juga memohon kerjasama pihak media untuk memberi ruang di sepanjang proses tersebut selain menghormati privasi keluarga yang terlibat dalam insiden terbabit.
“Sebarang perkembangan yang sesuai untuk dimaklumkan kepada umum akan disampaikan setelah maklumat berkenaan disahkan,” jelas kenyataan itu lagi.