
IPOH, 25 Ogos – Pasukan Para Hoki ID (ketidakupayaan intelektual) Malaysia mencipta sejarah apabila meraih pingat gangsa pada edisi sulung Kejohanan Hoki Piala Dunia Para ID 2026.
- Malaysia menewaskan Belgium 3-1 untuk tempat ketiga di Stadium Wagener, Amstelveen, Belanda.
- R. Shanker: pingat bukti kemampuan bersaing di pentas antarabangsa, tunjuk keberanian, disiplin dan semangat juang.
- Kejayaan hasil kerja keras pemain, jurulatih dan pegawai, sokongan keluarga, pengurusan dan penaja membuka peluang masa depan.
Pingat diperoleh susulan kejayaan Malaysia menewaskan Belgium 3-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat di Stadium Wagener di Amstelveen, Belanda.
Penolong Ketua Delegasi Malaysia R. Shanker berkata, pencapaian itu membuktikan kemampuan pemain negara untuk bersaing di pentas antarabangsa.
“Pingat gangsa ini bukan sekadar kemenangan tetapi satu detik bersejarah yang membuktikan bahawa pemain kita mampu bersaing dengan pasukan terbaik dunia.
“Mereka menunjukkan keberanian, disiplin dan semangat juang yang tinggi sepanjang kejohanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kejayaan itu juga membuktikan hasil kerja keras dan komitmen seluruh barisan pemain, jurulatih serta pegawai pasukan yang berusaha membawa nama Malaysia dengan penuh maruah.
Sokongan keluarga pemain, pengurusan, penaja dan penyokong turut menjadi faktor penting yang menyuntik semangat kepada pasukan.
Kejayaan ini diharap menjadi titik permulaan kepada perjalanan yang lebih besar untuk pasukan Para Hoki ID Malaysia pada masa akan datang serta membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada mereka untuk terus berkembang dan mengharumkan nama negara di pentas dunia.