Selepas tiga dekad, legenda Kedah FA kembali ke Malaysia

Tibor Szaban (tiga dari kiri), Olubunmi Adigun (tengah), Peter Nieketien (tiga dari kanan) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur – Foto RTM

Sepang, 25 Ogos – Selepas lebih tiga dekad, tiga bekas pemain legenda Kedah FA kembali bersatu bagi mengimbau nostalgia serta menghidupkan semula pertemuan bersejarah menentang Singapura pada perlawanan akhir Piala Malaysia 1993.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiba di KLIA, terus ke Alor Setar untuk menjayakan program Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993.
  • Tibor gembira kembali, bertemu rakan lama dan beraksi semula.
  • Nieketien dan Adigun anggap perlawanan penghormatan; kebanggaan, kenangan piala serta semangat persahabatan kekal.

Peter Nieketien, Olubunmi Adigun dan Tibor Szaban selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi Selasa sebelum meneruskan perjalanan ke Alor Setar bagi menjayakan program khas sempena Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993.

Bagi Tibor, pertemuan semula itu cukup bermakna kerana dapat kembali ke Malaysia, bertemu rakan-rakan lama dan sekali lagi beraksi menentang Singapura.

“Saya sangat gembira dapat kembali lagi ke Malaysia, dan saya juga amat gembira dapat bertemu semula dengan rakan-rakan saya di Kedah serta beraksi sekali lagi menentang Singapura.”

Sementara itu, Nieketien menyifatkan penganjuran perlawanan ini sebagai satu penghormatan besar, malah menganggapnya sebagai pertemuan semula pemain yang pernah mencipta sejarah bersama pasukan itu sebagai detik paling bermakna dalam karier bola sepaknya.

“Memang hebat. Memang usia kami sudah meningkat. Namun, satu perkara yang pasti, apabila kami kembali berkumpul untuk menghidupkan kembali apa yang pernah kami lakukan ketika masih muda dahulu, ia benar-benar menggembirakan. Ini adalah perkara paling bermakna yang pernah berlaku dalam karier bola sepak saya.”

Dalam pada itu, Adigun berkata, perlawanan kali ini juga membuktikan sumbangan yang pernah dicurahkan bersama Kedah FA masih dikenang sehingga hari ini.

Malah, beliau melihat kejayaan ketika zaman tersebut sebagai satu kebanggaan yang kekal dalam ingatan, selain mahu mempertahankan maruah Kedah FA apabila kembali beraksi dalam perlawanan persahabatan itu.

“Sudah tentu kenangan itu akan kekal sepanjang hayat. Itulah saat kami menyapu bersih semua piala di Malaysia. Kenangan itu akan sentiasa terpahat. Kami akan menjadikan pencapaian tersebut sebagai pembakar semangat untuk turun beraksi dalam perlawanan ini. Semangat dan maruah itu mesti terus ada.”

Ketiga-tiga legenda berkenaan mengakui aksi kali ini tidak mungkin menyamai intensiti perlawanan pada 1993 atas faktor usia.

Namun, semangat persahabatan dan rasa bangga dengan Kedah FA kekal menjadi taruhan utama dalam pertemuan semula yang turut menghimpunkan bekas pemain Singapura.

Pertemuan penuh nostalgia sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 itu bakal mengimbau kembali detik epik pertembungan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 1993, yang menyaksikan skuad Jelapang Padi muncul juara selepas menewaskan skuad Singapura, 2-0.

Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993 dijadualkan berlangsung di Stadium LADA Langkawi pada 29 Ogos depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.