
SERDANG, 25 Ogos – Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul 2026 bagi kategori Tokoh Perdana.
- Tan Sri Dr Syed Azman dinobatkan Tokoh Maulidur Rasul 2026 dalam kategori Tokoh Perdana.
- Beliau awalnya keberatan menerima anugerah; Ketua Pengarah JAKIM meminta agar beliau menerimanya.
- Diiktiraf atas sumbangan kebajikan: infrastruktur komuniti, bantuan bencana, sokongan rumah anak yatim dan program veteran.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2026 di Universiti Putra Malaysia, Serdang.
Tan Sri Dr Syed Azman ketika ditemui pemberita turut melahirkan rasa syukur terhadap pengiktirafan yang diberikan.
“Apabila Datuk Ketua Pengarah JAKIM datang sendiri menyerahkan surat, saya beritahu saya ini tidak layak menerima anugerah berkenaan. Pada pandangan saya, tokoh ini sepatutnya terdiri daripada mereka yang lebih arif dalam bidang hukum-hakam dan agama.
“Namun, Datuk Ketua Pengarah JAKIM meminta saya menerimanya dan berkata, jika saya menolak, saya akan menjadi orang pertama yang berbuat demikian.
“Jadi, mahu tidak mahu, saya menerimanya. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih”, katanya semasa sidang media di sini.
Tan Sri Dr Syed Azman terpilih atas sumbangan beliau menerusi pelbagai inisiatif kebajikan merangkumi infrastruktur komuniti, bantuan bencana dan sokongan kepada rumah anak yatim.
Meskipun tidak sering menonjolkan diri dalam ruang media, Tan Sri Dr Syed Azman berpandangan pendekatan itu selari dengan prinsipnya yang lebih suka bekerja di belakang tabir.
Beliau juga yang merupakan bekas Pegawai Risik Tentera turut mengekalkan hubunga baik dengan komuniti veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan terlibat dalam program kebajikan veteran serta inisiatif kesihatan dan perlindungan sosial bagi membantu anggota yang terkorban atau hilang upaya.
Penganugerahan terhadap beliau pada hari ini mencerminkan komitmennya kepada pembangunan komuniti Islam dan masyarakat secara keseluruhan.