SPRM, MARA perkukuh integriti mahasiswa menerusi Kem AMAR

Peserta Program Pemerkasaan Sahsiah MARA, Kem AMAR Siri 1 2026 di PUSKEP MARA Lenggong, Perak / foto FB SPRM

IPOH, 24 Ogos – Hampir 100 mahasiswa daripada 21 Institusi Pendidikan MARA (IPMa) menyertai Kem Integriti Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Siri 1 2026 di Pusat Kecemerlangan Pelajar (PUSKEP), Majlis Amanah Rakyat (MARA) Lenggong, sebagai sebahagian usaha berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan MARA membentuk generasi mahasiswa berintegriti serta berani menolak rasuah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama konsisten antara SPRM dan Unit Integriti MARA sejak 2015, dengan 31 kem dilaksanakan setakat ini.
  • Mahasiswa digalakkan menjadi agen perubahan, memacu pembaharuan sosial serta pembentukan nilai dalam masyarakat.
  • Program menyasarkan meningkatkan kefahaman integriti dan antirasuah, membina keyakinan, jati diri serta keberanian mempertahankan prinsip.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Samsul Salip, berkata kerjasama antara SPRM dan Unit Integriti MARA dalam pelaksanaan Kem AMAR IPMa telah berlangsung secara konsisten sejak 2015, dengan sebanyak 31 kem dilaksanakan setakat ini.

Beliau berkata Mahasiswa mempunyai peranan penting sebagai agen perubahan kerana golongan muda sering menjadi penggerak kepada perubahan sosial, pembaharuan pemikiran dan pembentukan nilai dalam masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemerkasaan Sahsiah MARA, Kem AMAR Siri 1 2026 di PUSKEP MARA Lenggong, semalam.

Program selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Ogos itu menghimpunkan mahasiswa dari IPMa di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Kem AMAR IPMa dirangka bukan sahaja untuk meningkatkan kefahaman mengenai integriti dan antirasuah, malah membina keyakinan, jati diri serta keberanian mahasiswa mempertahankan prinsip dalam kehidupan seharian, ” katanya.

Program yang merupakan sebahagian daripada MARA Character Enrichment Programme itu turut menampilkan modul dan aktiviti berasaskan pendidikan antirasuah bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif kepada peserta.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Zahari Aziz, dan turut dihadiri wakil pengurusan MARA negeri serta PUSKEP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.