
JOHOR BAHRU, 23 Ogos- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) meneroka potensi pelaksanaan projek pertanian bandar di Kampung Maju Jaya, Tebrau, di sini menerusi program Kampung Angkat MADANI (KAM).
- Memperkenalkan aktiviti pertanian yang bersesuaian dengan keperluan komuniti setempat.
- Memperkasa usahawan produk makanan melalui bantuan teknikal, penambahbaikan produk, infrastruktur dan aktiviti kesihatan.
- Menyediakan program pertanian dan pembangunan sosioekonomi yang boleh disesuaikan untuk meningkatkan keupayaan komuniti.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata inisiatif itu merupakan antara usaha MARDI memperkenalkan aktiviti pertanian yang bersesuaian dengan keperluan komuniti setempat.
Beliau berkata program KAM di kampung berkenaan turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan usahawan produk makanan melalui bantuan teknikal dan penambahbaikan produk, selain peningkatan infrastruktur serta aktiviti kesihatan.
“Di kampung ini, kita akan boleh membantu usahawan-usahawan makanan kecil yang sedia ada dan kemudian kita tingkatkan lagi keupayaan mereka,” katanya ketika ditemui pada Program Perasmian KAM MARDI di Kampung Maju Jaya, Tebrau, di sini.
Datuk Dr Mohamad Zabawi berkata MARDI turut mempunyai program berkaitan pertanian dan pembangunan sosioekonomi yang boleh disesuaikan dengan keperluan penduduk kampung berkenaan.