
LIMA, 21 Ogos – Gempa bumi kuat berukuran 6.7 magnitud melanda selatan Peru pada Khamis, pada pukul 1.00 tengah hari waktu tempatan.
- USGS mengesan pusat gempa kira-kira 40 km barat laut Upahuacho, 800 km dari Lima, kedalaman 99 km; gegaran dirasai di Cusco, Arequipa dan Lima.
- Laporan awal pihak berkuasa: sekurang-kurangnya tiga cedera ringan.
- Sekurang-kurangnya 22 rumah, enam sekolah dan 12 pusat perubatan terjejas; penilaian kerosakan masih dijalankan.
- Institut Geofizik Peru (IGP) merekodkan magnitud 7.2, kedalaman 108 km; gegaran susulan 4.2 direkodkan pada 4.30 petang.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa dikesan pada kira-kira 40 kilometer (km) barat laut Upahuacho dan hampir 800 kilometer dari ibu negara Lima dengan kedalaman 99 kilometer. Gegaran turut dirasai di Cusco, Arequipa dan Lima.
Laporan awal pihak berkuasa memaklumkan insiden berkenaan menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang mengalami cedera ringan.
Selain itu, sekurang-kurangnya 22 rumah, enam sekolah dan 12 pusat perubatan terjejas akibat gempa berkenaan, manakala pihak berkuasa masih menjalankan penilaian kerosakan.
Pasukan kecemasan turut dikerahkan ke bandar-bandar Andes, termasuk Puquio dan Coracora.
Dalam pada itu, Institut Geofizik Peru (IGP) merekodkan gempa itu pada magnitud 7.2 dengan kedalaman 108 kilometer.
IGP turut melaporkan gegaran susulan berukuran 4.2 magnitud berlaku pada pukul 4.30 petang waktu tempatan.
Rakaman yang disiarkan media Peru menunjukkan batu dan tanah runtuh dari lereng bukit di sekitar Coracora, wilayah Ayacucho, yang merupakan bandar paling hampir dengan pusat gempa dan mempunyai kira-kira 10,000 penduduk.
Sementara itu, Datuk Bandar Coracora, Yony Odon, berkata penduduk bertindak pantas dengan berpindah dan berlindung sejurus kejadian itu, sambil berharap tiada kerosakan besar berlaku.
Gempa bumi yang melanda Peru itu berlaku selepas dua gempa kuat melanda rantau berkenaan sejak Jun lalu.
Pada 24 Jun, gempa melanda Venezuela yang mengorbankan lebih 6,400 orang, manakala gempa kuat di Colombia minggu lalu menyebabkan hampir 300 orang maut.-AFP