PM adakan lawatan kerja dua hari ke Brunei bermula esok

Datuk Mohd Aini Atan/ Foto BERNAMA

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Brunei selama dua hari bermula esok bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Kali ke-27 antara Malaysia dan Brunei.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 merupakan mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara Malaysia dan Brunei.
  • Datuk Seri Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah akan menilai kemajuan hubungan serta kerjasama dua hala yang terjalin sejak 1984.
  • Kedua-dua pemimpin akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
  • Satu MoU kerjasama pengurusan bencana akan ditandatangani oleh menteri-menteri kedua-dua negara dan Mesyuarat EOL-27 akan memantau pelaksanaannya.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Mohd Aini Atan berkata siri rundingan pemimpin tahunan itu merupakan mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara Malaysia dan Brunei.

“Datuk Seri Anwar dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah akan menilai kemajuan hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara. Dalam konteks hubungan dua hala, sememangnya Malaysia dan Brunei memiliki hubungan yang akrab dan istimewa yang telah terjalin sejak tahun 1984,” jelasnya.

“Selaku negara jiran rapat dan rakan kongsi di peringkat ASEAN, kedua-dua pemimpin akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. Satu Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pengurusan bencana akan ditandatangani oleh menteri-menteri berkaitan bagi pihak Malaysia dan Brunei,” katanya pada sidang
media bersama media Malaysia di sini.

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Datuk Mohd Aini berkata sebagai persediaan ALC-27, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mempengerusikan Mesyuarat ke-27 Pelaksanaan Pertukaran Surat (EOL-27) Malaysia-Brunei pada esok secara bersama dengan Menteri Luar Brunei Kedua Datuk Seri Setia Erywan Mohd Yusof.

“Mesyuarat EOL tersebut akan memantau kemajuan kerjasama dua hala serta membincangkan hasil persetujuan yang telah dicapai oleh kedua-dua pemimpin semasa Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-26 yang diadakan di Putrajaya tahun lepas,” katanya.

Pada 2025, jumlah dagangan antara Malaysia dan Brunei direkodkan pada RM5.86 bilion (USD1.37 bilion).

Jumlah eksport ke Brunei Darussalam pada 2025 bernilai RM4.20 bilion (USD 0.98 bilion), manakala jumlah import dari Brunei bernilai RM1.66 bilion (USD0.39 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM2.38 bilion (USD0.6 bilion).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.