Tambah baik SST: Kerajaan terbuka pertimbang komponen GST

Perdana Menteri berucap pada Majlis Perasmian Persidangan TikTok Shop 2026 di sini, hari ini. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Beberapa komponen Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sedia dipertimbang kerajaan bagi menambah baik pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak mempertimbangkan prinsip asas GST sebagai cukai menyeluruh.
  • Sebarang pelarasan percukaian mesti dibuat tanpa meningkatkan beban cukai ke atas golongan termiskin.
  • GST dilihat tidak sesuai kerana turut dikenakan kepada golongan berpendapatan rendah, menurut beliau.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak mempertimbang prinsip asas GST sebagai cukai menyeluruh.

Menurut beliau, sebarang pelarasan terhadap sistem percukaian perlu dibuat tanpa meningkatkan beban cukai ke atas golongan termiskin.

“Setiap prinsip itu mesti diteliti. Sama ada kita perlu membuat beberapa pelarasan dari segi kaedah dan proses bagi menambah baik pelaksanaan SST atau menggunakan beberapa komponen GST, sudah tentu kita boleh pertimbangkan.

“Namun, prinsip teras kerajaan MADANI adalah untuk tidak meningkatkan cukai terhadap golongan paling miskin. Oleh itu, GST sebagai satu prinsip tidak boleh dipertimbangkan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Persidangan TikTok Shop 2026 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, prinsip asas GST tidak sesuai dipertimbang kerana sifatnya sebagai cukai menyeluruh yang turut dikenakan kepada golongan berpendapatan rendah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.