
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Kerajaan memberi jaminan akan mempercepatkan proses pindaan Rang Undang-Undang (RUU) e-dagang bagi memastikan ekosistem perniagaan digital negara lebih selamat, teratur serta melindungi hak peniaga dan pengguna secara menyeluruh.
- Pindaan RUU memenuhi keperluan peniaga digital, terutamanya usahawan muda.
- Perdana Menteri arah menteri laksanakan peraturan demi kepentingan generasi muda.
- Pindaan bertujuan membendung penyalahgunaan platform dan memastikan barangan beretika.
- Penekanan nilai, akhlak dan etika dalam perniagaan sebagai tunjang Negara Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu penting bagi memenuhi keperluan peniaga digital yang semakin berkembang, khususnya dalam kalangan usahawan muda yang memanfaatkan platform dalam talian untuk menjana pendapatan.
“Ada Armizan (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali) di depan ribuan anak-anak ini, saya beri arahan supaya peraturan itu dipercepatkan kerana anak-anak mahukan satu peraturan yang dapat dilaksanakan dengan segera. Setuju tak? Beliau ialah menteri yang baik dan akan melaksanakannya dengan segera. Sebab apa? Sebab perkara ini penting untuk anak-anak. Kamu juga mahukan keselamatan dan perlindungan.
“Setiap usaha baharu atau inisiatif baharu juga mempunyai beberapa kekangan dan cabaran. Kita mahu menggalakkan perniagaan yang sah dan berintegriti, tetapi kita tahu ruang ini juga terbuka kepada pihak yang mungkin menyalahgunakan perkhidmatan dan pengaruh. Oleh itu, sebahagian peraturan perlu diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama di Majlis Perasmian Tiktok Shop Summit 2026 di ibu negara.
Mengulas lanjut, pindaan RUU itu juga berupaya membendung penyalahgunaan platform serta memastikan barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna memenuhi nilai etika yang ditetapkan.
“Dalam kehidupan, kita perlu mengakui bahawa pengurusan, perniagaan dan keuntungan itu penting. Namun, nilai, akhlak dan etika juga tidak kurang pentingnya. Sesebuah negara tidak akan benar-benar maju tanpa asas nilai yang kukuh. Sebab itu, kita rangkumkan semuanya dalam kekuatan yang kita ungkapkan sebagai Negara MADANI,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan melaksanakan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian pada 9 September 2026 depan.
Beliau berkata inisiatif berkenaan sebagai tanda dukungan kepada seluruh rakyat Malaysia sempena dengan sambutan Hari Malaysia 2026.
Ia sekali gus memberi peluang kepada rakyat Malaysia mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan.
“Jadi, semangat Kemerdekaan, Hari Malaysia serta inisiatif yang diambil oleh ‘TikTok Shop’ saya sambut baik.
“Bagi meneruskan inisiatif terbaik ini, saya mahu menyelaraskannya pada peringkat awal dengan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian.
“Jualan ini akan dilancarkan secara khas dan segala maklumat berkaitan akan kita hebahkan sepenuhnya,” katanya lagi.