Lapangan terbang utama Venezuela bakal kembali beroperasi

Keadaan lapangan terbang yang rosak teruk dalam kejadian gempa bumi kuat di Venezuela pada 24 Jun lepas – Foto AFP

CARACAS, 20 Ogos – Venezuela mengadakan latihan kesiapsiagaan pada Rabu bagi menguji terminal sementara di lapangan terbang antarabangsa yang rosak akibat dua gempa bumi pada Jun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan kesiapsiagaan menguji terminal sementara, membolehkan lapangan terbang beroperasi sehingga 40 peratus kapasiti.
  • Dua terminal sementara untuk pelepasan dan dua lagi untuk ketibaan ditempatkan dalam khemah besar di luar bangunan rosak.
  • Penerbangan kargo disambung semula pada 5 Ogos; tarikh sambungan penerbangan penumpang masih belum ditetapkan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolívar terletak di La Guaira, negeri paling teruk terjejas akibat gempa bumi bermangnitud 7.2 dan 7.5 pada 24 Jun.

Bencana alam itu mengorbankan lebih 6,400 orang dan memusnahkan puluhan bangunan.

Infrastruktur lapangan terbang turut mengalami kerosakan teruk termasuk landasan utama, menyebabkan operasinya terhad kepada penerbangan kemanusiaan selama beberapa minggu.

Latihan tersebut membolehkan lapangan terbang beroperasi dengan kapasiti mencecah 40 peratus.

Presiden interim Venezuela, Delcy Rodriguez yang memegang jawatan itu pada Januari selepas Amerika Syarikat (AS) menggulingkan Presiden Nicolas Maduro, sebelum ini mengumumkan rancangan untuk membuka semula lapangan terbang itu secepat mungkin.

Buat sementara waktu, AS menyokong operasi pengangkutan udara Venezuela dengan banntuan teknikal dan logistik selepas gempa.

Lapangan terbang itu menerusi media sosial memaklumkan, dua terminal sementara disediakan untuk pelepasan, manakala dua lagi untuk ketibaan dengan semuanya ditempatkan dalam khemah besar di luar bangunan yang rosak.

Penerbangan kargo disambung semula pada 5 Ogos lepas, namun tarikh bagi menyambung semula penerbangan penumpang masih belum ditetapkan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.