Perancis usir dua diplomat Iran

Foto REUTERS

PARIS, 19  Ogos – Perancis akan mengusir dua diplomat Iran yang ditempatkan di negara itu sebagai tindak balas terhadap keputusan Tehran melarang dua diplomat Perancis daripada kembali ke Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Luar Jean-Noel Barrot mengutuk layanan 'tidak boleh diterima' terhadap dua diplomat Perancis yang ditahan dan disoal siasat di Tehran.
  • Iran menuduh kedua diplomat Perancis melakukan campur tangan dalam urusan dalaman, lalu menghalang mereka kembali ke negara itu.
  • Barrot menyifatkan penahanan itu sebagai pelanggaran jelas kekebalan diplomatik dan tindakan intimidasi yang amat serius.
  • Pihak berkuasa Iran menafikan layanan buruk, berkata soal siasat hanya singkat dan mendakwa hubungan dengan masyarakat sivil sebagai bukti campur tangan.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, berkata tindakan itu akan dilaksanakan dalam beberapa hari akan datang susulan apa yang disifatkannya sebagai layanan “tidak boleh diterima” terhadap dua diplomat Perancis yang sebelum ini ditahan dan disoal siasat di Tehran.

“Dua diplomat Iran di Perancis akan diusir dalam beberapa hari akan datang,” katanya menerusi platform X.

Menurut Barrot, tindakan tersebut diambil selepas dua diplomat Perancis berkenaan berdepan tuduhan melakukan campur tangan dalam urusan dalaman Iran.

Kementerian Luar Iran pada Isnin memaklumkan kepada Perancis bahawa kedua-dua diplomat negara itu tidak lagi dibenarkan kembali ke Iran.

Pada 20 Julai lalu, Barrot berkata dua diplomat terbabit, termasuk seorang pegawai atase kebudayaan, telah ditahan dan disoal siasat selama beberapa jam oleh pegawai Iran pada malam sebelumnya.

Beliau mendakwa tindakan itu merupakan pelanggaran jelas terhadap kekebalan diplomatik dan menyifatkannya sebagai satu tindakan intimidasi yang amat serius oleh pasukan keselamatan Iran.

Menurutnya, seorang daripada diplomat terbabit turut mengalami layanan fizikal ketika ditahan.

“Dua diplomat Perancis telah diserang secara sengaja dan memalukan pada 19 Julai, kerana Perancis berdiri bersama rakyat Iran serta menyokong artis, saintis dan penyelidik negara itu,” katanya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Iran menafikan berlaku sebarang layanan buruk terhadap diplomat Perancis berkenaan.

Iran menegaskan kedua-duanya hanya disoal siasat dalam tempoh singkat dan mendakwa mereka telah melakukan campur tangan dalam urusan dalaman Iran atas alasan menjalinkan hubungan dengan masyarakat sivil. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.