Kemunculan gajah liar, cetus kebimbangan pengguna jalan Jerangau-Jabor

Foto RTM

KEMAMAN, 17 Ogos – Pemandu dan pengguna Jalan Jerangau – Jabor berhampiran Bandar Cheneh Baru, di sini, berdepan detik cemas apabila sekumpulan gajah liar dikesan berkeliaran di laluan utama itu sejak beberapa hari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk gusar gajah berkeliaran, meningkatkan risiko kemalangan terutama pada waktu malam dan awal pagi.
  • PERHILITAN melaksanakan pemantauan dan kawalan malam menggunakan dron untuk memastikan keselamatan orang awam.
  • Pengguna dinasihati tidak panik, jangan menghampiri, membaling objek, membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi terhadap gajah.

Kemunculan kumpulan haiwan berkenaan menimbulkan keresahan penduduk kerana situasi berkenaan berisiko menyebabkan kemalangan memandangkan ia laluan utama penduduk setempat.

Menurut penduduk, kejadian itu juga adalah kali pertama berlaku sejak mereka menduduki kawasan itu lebih 50 tahun lalu.

Dalam kejadian pagi tadi, sekumpulan gajah liar berkenaan dikesan berada di tepi jalan berkenaan sebelum melintas laluan ke kawasan ladang sawit berhampiran.

Menurut pengguna jalan berkenaan, Hasibi Jaafar, Situasi berkenaan turut menimbulkan kebimbangan penduduk kerana mendatangkan bahaya, terutama pada waktu malam dan awal pagi.

“Pagi tadi pun kita tengok ada lebih 10 ekor berkeliaran di tepi jalan. Kita bimbang kalau gajah melintas jalan kerana banyak kenderaan melalui kawasan ini,” katanya.

Manakala seorang lagi pengguna, Mohd Zamzuri Hassan, kehadiran gajah berkenaan semakin membimbangkan kerana haiwan tersebut dilihat berkeliaran tanpa arah dan boleh menyebabkan kemalangan.

“Memang bahaya. Baru-baru ini pun sudah berlaku satu kemalangan melibatkan gajah di lebuh raya. Sekarang gajah ini sudah merata-rata kerana mungkin habitat mereka terganggu,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk berharap agar pemantauan serta tindakan segera dapat dilakukan pihak berkaitan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, selain mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Dennis Ten Choon Yung ketika dihubungi berkata, pihaknya telah mengadakan pemantauan serta kawalan pada waktu malam menggunakan teknologi dron di kawasan berkenan bagi memastikan keselamatan orang awam.

Para pengguna jalan juga dinasihati tidak panik atau cuba menghampiri gajah, selain tidak membaling objek, membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi dan lampu suluh ke arah haiwan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.