Taekwondo: Sarawak, Pahang pamer penguasaan di SUKMA

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 16 Ogos – Skuad taekwondo Sarawak dan Pahang mendominasi acara kyorugi pada hari terakhir saingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Putera Arsyad Danish Afrizan (Pahang) menewaskan Joseph Wong 2-0 untuk pingat emas Lelaki bawah 68kg.
  • Sarawak raih dua emas menerusi AJ Ong Yang Yi (Lelaki >87kg) dan Pretty Amisha Amanda (Wanita >73kg), kedua-duanya 2-0.
  • Melissa Soo (Wilayah Persekutuan) menang tipis 2-1 ke atas Nur Ain Aleesya Abdullah (Terengganu) dalam kategori Wanita bawah 57kg.

Dalam kategori Lelaki bawah 68 kilogram (kg), atlet Pahang, Putera Arsyad Danish Afrizan mempamerkan aksi kemas untuk menewaskan wakil Sarawak, Joseph Wong 2-0 sekali gus menghadiahkan pingat emas buat skuad Tok Gajah.

Sarawak bagaimanapun tidak pulang hampa apabila bangkit menuai dua pingat emas menerusi kategori berat.

AJ Ong Yang Yi yang bertanding dalam kategori Lelaki melebihi 87kg tenang mengetepikan cabaran atlet Johor, S. Dushendran Kumar 2-0, sebelum kejayaan itu diteruskan Pretty Amisha Amanda Francesca yang menundukkan Nur Aliya Ellisya Husyaimy dari Kedah 2-0 bagi kategori Wanita melebihi 73kg.

Sementara itu, Terengganu turut mencatatkan menggondol emas menerusi Nasruddin Azrin dalam kategori Lelaki bawah 80kg selepas menewaskan Yap Ren Ken dari Wilayah Persekutuan 2-0.

Saingan paling sengit disaksikan dalam kategori Wanita bawah 57kg apabila Melissa Soo dari Wilayah Persekutuan dipaksa bekerja keras sehingga ke pusingan penentuan sebelum berjaya menundukkan wakil Terengganu, Nur Ain Aleesya Abdullah 2-1.

Satu lagi pingat emas bagi kategori Wanita bawah 67kg menjadi milik Johor menerusi Masturina Mahadzir yang mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas wakil Pulau Pinang, Noor Wirdani Qistina.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.