
SEREMBAN, 14 Ogos – Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim dilantik sebagai Pengerusi Negeri Sembilan Football Club (NSFC) yang baharu.
- Membawa pengalaman sebagai Pengurus Pasukan Negeri Sembilan era 1990-an dan awal 2000-an, memahami sejarah, budaya dan identiti bola sepak negeri.
- Akan menerajui hala tuju strategik kelab dan memperkukuh kerjasama bersama PBNS, Kerajaan Negeri serta pihak berkepentingan untuk pembangunan menyeluruh.
- Pelantikan menandakan lembaran baharu; NSFC menumpukan kelab profesional, mampan, kompetitif serta pembangunan pemain, struktur dan hubungan dengan komuniti.
Perkara itu diumumkan Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Ibni Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
“Pelantikan tersebut dibuat susulan peletakan jawatan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Pengerusi NSFC. Pelantikan Datuk Ismail turut membawa makna tersendiri buat bola sepak Negeri Sembilan.
“Beliau bukanlah figura asing dalam arena bola sepak negeri, setelah pernah berkhidmat sebagai Pengurus Pasukan Negeri Sembilan pada era 1990-an dan awal 2000-an,” menurut kenyataan itu.
Pengalaman tersebut memberikan beliau pemahaman terhadap sejarah, budaya serta identiti bola sepak Negeri Sembilan, selain pengalaman luas dalam kepimpinan dan pentadbiran.
“Datuk Ismail bukanlah nama asing dalam keluarga bola sepak Negeri Sembilan. Beliau pernah bersama pasukan ini sebagai Pengurus Pasukan dan memahami nilai serta identiti yang dibawa bola sepak Negeri Sembilan.
“Kini beliau kembali dalam kapasiti yang berbeza untuk memimpin Negeri Sembilan Football Club sebagai Pengerusi. Saya yakin pengalaman dan kepimpinan beliau mampu membantu NSFC meneruskan pembangunan kelab secara profesional, mampan dan berdaya saing,” tambah kenyataan itu.
Datuk Ismail akan menerajui hala tuju strategik kelab serta memperkukuhkan kerjasama antara NSFC, PBNS, Kerajaan Negeri dan pihak berkepentingan dalam usaha membangunkan bola sepak Negeri Sembilan secara menyeluruh.
NSFC akan terus memberi tumpuan kepada pembinaan sebuah kelab profesional yang mampan dan kompetitif, di samping memperkukuhkan pembangunan pemain, struktur kelab, aspek komersial serta hubungan bersama komuniti dan penyokong.
Pelantikan itu juga menandakan satu lembaran baharu buat NSFC, seorang tokoh yang pernah mengurus pasukan Negeri Sembilan kembali untuk menerajui kelab pada peringkat tertinggi kepimpinan. Beliau juga merupakan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) pada tahun 2010.
Dalam kenyataan sama Tunku Syed Razman turut mengucapkan penghargaan Datuk Seri Aminuddin atas segala khidmat, komitmen dan sumbangan beliau sepanjang menerajui NSFC.