RCI TH: SPRM kenal pasti lapan isu baharu

Foto BERNAMA

KUCHING, 13 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti lapan isu baharu untuk disiasat susulan penelitian lanjut terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH).

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM menambah kertas siasatan terhadap isu pelaburan bermasalah berkaitan Tabung Haji.
  • SPRM menambah bilangan pegawai penyiasat bagi memastikan siasatan dilengkapkan dengan sempurna.
  • Isu melibatkan pelaburan dalam perladangan sawit, pembinaan, hartanah, perhotelan dan perkhidmatan perkapalan sokongan.
  • SPRM akan meneliti kontrak, minit mesyuarat dan dokumen berkaitan menggunakan kepakaran khusus; proses siasatan memerlukan masa.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kertas siasatan yang dibuka SPRM berhubung isu dalam laporan RCI berkenaan meningkat kepada 14, berbanding enam isu yang disyorkan dalam RCI TH.

“Kami mendapati terdapat lapan isu tambahan yang dikenal pasti, sekali gus membawa kepada lapan kertas siasatan (IP) baharu. Pada awalnya, terdapat enam kertas siasatan, dan dengan tambahan lapan kertas siasatan ini, jumlah keseluruhan kini menjadi 14.

“Sehubungan itu, kami telah menambah bilangan pegawai penyiasat bagi menyiasat isu-isu tambahan tersebut. Setakat ini, enam pegawai penyiasat telah ditambah dan sekiranya diperlukan, jumlah itu akan ditambah lagi bagi membantu memastikan siasatan dapat dilengkapkan dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Kuching hari ini.

Beliau berkata lapan isu tambahan yang ditemui itu berkaitan dengan pelaburan yang bermasalah.

Menurutnya, isu pertama membabitkan Deru Semangat Sdn Bhd yang berkaitan dengan perladangan sawit.

Isu kedua melibatkan Abraj Sdn Bhd, iaitu pelaburan yang dibuat di Malaysia, isu ketiga membabitkan Putrajaya Perdana Berhad yang berkaitan dengan pembinaan atau korporat di Malaysia.

Sementara itu, isu keempat membabitkan Al Raudhah Real Estate yang melibatkan urusan penyewaan hotel di Mekah dan Madinah.

Isu kelima pula berkaitan Al-Farida Residential Fund, iaitu pelaburan yang dibuat di Arab Saudi.

Tiga isu lain membabitkan TH Properties Sdn Bhd berkaitan pelaburan hartanah di Malaysia, TH Marine Sdn Bhd yang menjalankan perkhidmatan perkapalan sokongan serta TH Hotel and Residence yang melibatkan pelaburan hartanah dan perhotelan di Malaysia.

Jelas beliau kontrak perjanjian, minit-minit mesyuarat terhadap apa jua keputusan dan perkara yang berkaitan kepada pelaburan yang bermasalah itu akan diteliti dengan khusus dengan kepakaran tertentu serta mengambil masa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.