
SHAH ALAM, 13 Ogos – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun membela diri atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, tahun lepas
- Hakim Adlin Abdul Majid mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
- Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan; juvana tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak 2001.
- Identiti remaja disorokkan dan keseluruhan prosiding dijalankan secara tertutup.
Hakim Adlin Abdul Majid mengeluarkan perintah berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap remaja terbabit.
Peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh mengesahkan mengenai perintah mahkamah berkenaan.
Remaja itu didakwa membunuh mangsa yang ketika kejadian berusia 16 tahun di dalam bilik tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama antara 9.20 pagi hingga 9.35 pagi, 14 Oktober 2025.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, namun tertuduh juvana tertakluk kepada peruntukan Akta Kanak-kanak 2001.
“Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil saksi-saksi termasuk tiga kanak-kanak, guru sekolah, ibu mangsa, pakar patologi serta pegawai penyiasat kanan untuk memberi keterangan,” kata peguam itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.
Memandangkan tertuduh masih di bawah umur, identiti remaja itu tidak boleh didedahkan atau dirakam gambarnya, manakala keseluruhan prosiding dijalankan secara tertutup.
Pada 12 Februari lepas, remaja berkenaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Adlin.
Pada 30 Januari lepas, pihak pendakwaan memperoleh keizinan Jabatan Peguam Negara selaras Seksyen 177A Kanun Prosedur Jenayah untuk memindahkan kes dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi perbicaraan selepas laporan psikiatri mengesahkan remaja itu layak dibicarakan.
Pada 22 Oktober 2025, remaja terbabit didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Sekiranya didapati bersalah, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menetapkan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap pesalah di bawah umur 18 tahun.
Sebagai ganti, mahkamah boleh memerintahkan individu terbabit ditahan selama tempoh yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri mengikut Seksyen 97(2) akta yang sama.- BERNAMA