BAM nilai prestasi pemain kebangsaan secara menyeluruh

Datuk Seri Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menegaskan bahawa penilaian terhadap prestasi barisan pemain kebangsaan tidak akan dibuat berdasarkan keputusan perlawanan semata-mata.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus pada semangat juang, prestasi keseluruhan dan kelemahan teknikal sebelum membuat keputusan tentang kedudukan pemain.
  • Kekalahan dianalisis mendalam untuk kenal pasti punca sebenar seperti masalah teknikal atau kecergasan.
  • Jurulatih bertanggungjawab mengenal pasti dan membaiki kekurangan pemain bagi meningkatkan prestasi di gelanggang.
  • BAM yakin dengan barisan kejurulatihan sedia ada termasuk Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, beberapa aspek lain termasuk semangat juang, prestasi keseluruhan serta kelemahan teknikal akan diberi tumpuan sebelum sebarang keputusan berkaitan kedudukan pemain diambil.

“Kita tidak akan buang pemain begitu sahaja kerana kita melihat kepada prestasi. Pada masa ini, prestasi pemain boleh disifatkan berada pada tahap sederhana tidak terlalu cemerlang, namun tidak juga terlalu teruk.

“Kita perlu meneliti cara mereka bermain dan semangat juang yang ditunjukkan. Sebagai contoh, jika pemain beregu campuran kita beraksi menentang lawan di ranking pertama dunia dan mereka berjuang habis-habisan sehingga ke set penentuan sebelum kalah, perkara itu kita perlu terima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Trofi Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei (LCWC) 2026 di ibu negara, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Lee Chong Wei menekankan bahawa setiap kekalahan perlu dianalisis secara mendalam bagi mengenal pasti punca sebenar, sama ada ia disebabkan faktor teknikal atau tahap kecergasan.

Tanggungjawab tersebut terletak di bahu barisan jurulatih untuk memastikan setiap kekurangan diperbaiki bagi meningkatkan semula prestasi pemain di gelanggang.

“Mungkin ada kekurangan dari segi teknikal atau kecergasan yang tidak mencukupi. Inilah peranan jurulatih untuk mengulas dan mengenal pasti punca kekalahan dalam sesuatu kejohanan.

“Kita yang berada di luar boleh nampak, begitu juga jurulatih. Ini adalah tanggungjawab mereka (jurulatih),” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan keyakinan terhadap barisan kejurulatihan sedia ada, termasuk Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky serta ketua jurulatih lain.

Pemantauan berterusan penting bagi menilai perkembangan pemain secara menyeluruh, bukan semata-mata berdasarkan keputusan akhir perlawanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.