Bunga ganja antara rampasan JKDM Perlis bernilai RM1.7 juta

Mohammad Furiman Hattar (tengah) pada sidang media di Pejabat JKDM Perlis hari ini/ RTM

KANGAR, 12 Ogos- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas pelbagai barangan termasuk dadah, rokok tidak berkastam, dapur gas dan minuman keras dalam enam kes berasingan antara 21 Mei hingga 29 Julai lepas dengan nilai keseluruhan rampasan dan cukai berjumlah lebih RM1.77 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan dibuat di Lembah Chuping, Pulau Batu Layang, Taman Tuanku Sarina, Kampung Titi Serong, Pelabuhan Klang dan Taman Industri Benajaya.
  • Rampasan dadah: 8.123 kg bunga kanabis di Lembah Chuping dan 17 kg mampat disyaki kanabis di Pulau Batu Layang.
  • Sitaan rokok tidak berkastam: 40,840 batang di Taman Tuanku Sarina dan 42,120 batang di Kampung Titi Serong.
  • Sitaan lain termasuk 5,840 unit dapur gas dan 1,016 liter minuman keras; semua kes disiasat di bawah Akta Dadah dan Akta Kastam.

Pengarah JKDM Perlis, Mohammad Furiman Hattar berkata rampasan itu dilakukan di enam lokasi iaitu Lembah Chuping, Pulau Batu Layang, Taman Tuanku Sarina, Kampung Titi Serong, Pelabuhan Klang dan Taman Industri Benajaya.

Beliau berkata dalam operasi pada 21 Mei lepas, pihaknya merampas lapan bungkusan lut sinar mengandungi 8.123 kilogram dadah jenis bunga ganja bernilai RM649,840 di kawasan Lembah Chuping.

“(Manakala) pada 19 Jun lepas, sebanyak 17 ketulan mampat disyaki kanabis (ganja) seberat 17 kilogram bernilai RM51,000 ditemui di kawasan pelantar Pulau Batu Layang, Kuala Perlis,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Perlis, di sini, hari ini.

Mohammad Furiman berkata pada 9 Julai lepas, Cawangan Penguatkuasaan Kuala Perlis menyita 40,840 batang rokok tidak berkastam di Taman Tuanku Sarina, Jitra, yang dianggarkan bernilai RM12,394 dengan cukai lebih RM29,000.

Pada 23 Julai lepas pula, sebanyak 42,120 batang rokok bernilai lebih RM13,000 serta melibatkan cukai lebih RM30,000 disita dalam operasi di Kampung Titi Serong, Kuala Perlis.

Beliau berkata kes kelima dan keenam masing-masing membabitkan sitaan 5,840 unit dapur gas pada 21 Julai lepas yang dimuatkan dalam sebuah kontena di Pelabuhan Utara, serta 1,016 liter minuman keras di Taman Industri Benajaya.

“Nilai bagi kedua-dua kes ini mencecah RM746,400 dengan cukai sebanyak lebih RM239,000,” katanya.

Beliau berkata semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

Mohammad Furiman turut menyeru orang ramai supaya bekerjasama dengan JKDM dalam membanteras kegiatan penyeludupan, khususnya membabitkan rokok, minuman keras, dadah dan kenderaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.