
TANJONG MALIM, 12 Ogos – Gerakan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR)perlu diinstitusikan sebagai sebahagian daripada budaya dan ekosistem universiti bagimemastikan perjuangan membanteras rasuah terus diwarisi daripada satu generasi mahasiswa kepada generasi seterusnya.
- AMAR perlu bergerak berterusan, bukan hanya semasa konvensyen, berasaskan sistem, prinsip dan nilai integriti.
- Usaha antirasuah adalah agenda negara dan tanggungjawab semua, termasuk mahasiswa; integriti mesti menjadi pilihan utama.
- Perlu pengukuhan struktur, kepimpinan, strategi advokasi dan kelestarian; pendidikan antirasuah mesti diterjemahkan kepada tindakan, amalan serta penggunaan platform digital.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk TPj Ahmad Nizam Ismail berkata, AMAR tidak seharusnya hanya aktif ketika program atau konvensyen tertentu, sebaliknya perlu bergerak secara berterusan berasaskan sistem, prinsip dan nilai integriti.
“Penginstitusian membawa maksud kita sama-sama mahu membina sesuatu yang mampu bertahan merentasi generasi.
“Kita tidak mahu AMAR hanya dikenali apabila berlangsungnya konvensyen, sebaliknya kita mahu AMAR menjadi sebahagian daripada budaya universiti, menjadi ekosistem, institusi dan legasi,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penutupan Konvensyen AMAR Kali Ke-10 Tahun 2026 di Dewan Kolej Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Beliau berkata, usaha membanteras rasuah bukan sekadar agenda SPRM, sebaliknya merupakan agenda negara dan tanggungjawab semua lapisan masyarakat termasuk golongan mahasiswa.
Katanya, cabaran negara ketika ini bukan hanya berkaitan pembangunan ekonomi, teknologi dan pencapaian pendapatan tinggi, tetapi turut merangkumi usaha membina sebuah negara yang mempunyai nilai integriti tinggi.
“Apabila integriti mula dianggap sebagai pilihan, ketika itulah masa depan sesebuah negara mula dipertaruhkan,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengetua Kolej Ungku Omar UPSI merangkap Pengerusi Majlis Pengetua Kolej, Prof. Dr. Mohd Nizam Nasrifan berkata, tema Konvensyen AMAR Kali Ke-10 Tahun 2026, “Memperkukuh Penginstitusian AMAR, Memangkin Kelestarian Literasi Mahasiswa”, bertepatan dengan keperluan semasa.
“AMAR yang ditubuhkan pada 2007 kini memerlukan pengukuhan dari aspek struktur, kepimpinan, strategi advokasi dan kelestarian gerakan bagi memastikan ia terus relevan.
“Pendidikan antirasuah juga tidak boleh terbatas kepada pengetahuan dan kesedaran semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan, amalan dan budaya dalam kehidupan seharian warga universiti,” katanya.
Sepanjang tiga hari konvensyen, peserta didedahkan kepada pelbagai sesi perkongsian ilmu, forum, bengkel dan perbincangan strategik yang memberi nilai tambah kepada pembangunan kepimpinan mahasiswa berintegriti.
Perbincangan turut merangkumi aspek identiti gerakan, kepimpinan berteraskan integriti, penggunaan platform digital seperti MACCampus serta pendekatan komunikasi antirasuah yang lebih kreatif dan berkesan.