
KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Pemain beregu lelaki negara, Man Wei Chong memberi tumpuan sepenuhnya kepada Kejohanan Dunia 2026 di New Delhi, India dari 17 hingga 23 Ogos ini.
- Wei Chong kembali berganding dengan pasangan asalnya Tee Kai Wun selepas fasa gandingan sementara.
- Beliau tidak mahu terlalu memikirkan gelaran, hanya fokus memberikan yang terbaik bagi kejohanan ini.
- Belum pasti hala tuju gandingan selepas Masters China dan belum berbincang dengan barisan kejurulatihan.
Wei Chong akan kembali bergandingan dengan pasangan asalnya, Tee Kai Wun selepas sebelum ini menjalani fasa gandingan sementara.
“Sasaran saya memang kena tengok jauh lagi. Ini Kejohanan Dunia, kejohanan besar. Saya harap boleh buat yang terbaik untuk kejohanan terakhir ini.
“Mengenai gelaran juara, saya tidak mahu terlalu memikirkannya buat masa ini. Kami hanya mahu fokus memberikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Sebelum ini, Wei Chong bergandingan dengan Soh Wooi Yik dan berjaya mara ke final Masters Korea 2026 sebelum tewas kepada pasangan negara, Tee Kai Wun-Yap Roy King.
Mengulas undian di New Delhi, Wei Chong mengakui saingan tetap mencabar walaupun mendapat bye pada pusingan pertama.
Beliau dijangka berdepan pasangan Amerika Syarikat pada pusingan kedua yang disifatkannya mempunyai prestasi baik tahun ini.
“Saya rasa pusingan kedua pun agak sukar. Kalau tidak silap saya, mungkin akan lawan pasangan Amerika Syarikat. Prestasi mereka pun agak bagus tahun ini.
“Jadi kami hanya perlu membuat persiapan rapi dan lakukan yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, Wei Chong berkata beliau masih belum mengetahui hala tuju gandingannya selepas Masters China.
Katanya, beliau juga belum berbincang dengan barisan kejurulatihan mengenai sebarang perubahan gandingan bagi kejohanan akan datang.