
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) tidak perlu bimbang mengenai urusan pelunasan zakat kerana ia telah dilaksanakan secara tertib dan berlandaskan hukum syarak.
- Status pelunasan zakat bagi pihak pendeposit adalah sah dan dilaksanakan dengan sempurna.
- Jawatankuasa Penasihat Syariah TH (Sept 2020) menegaskan pembayaran zakat sebelum konsep wakalah 2019 adalah sah dan patuh syarak.
- Operasi dan tadbir urus zakat TH berpandukan Garis Panduan Zakat yang diluluskan dan dipantau oleh pakar syariah serta kewangan Islam.
- Amalan zakat TH dibentang dan diperakui Jawatankuasa Muzakarah pada Jun 2024 sebelum disembah maklum kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, status pelunasan zakat bagi pihak pendeposit adalah sah dan dilaksanakan dengan sempurna.
Menurut beliau, Jawatankuasa Penasihat Syariah TH pada September 2020 berpandangan bahawa pembayaran zakat bagi pendeposit sebelum konsep wakalah diperkenalkan pada 2019 adalah sah dan mematuhi hukum syarak.
“Keseluruhan operasi dan tadbir urus zakat TH adalah berpandukan Garis Panduan Zakat yang telah diluluskan dan dipantau oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah TH, yang dianggotai pakar-pakar Syariah dan kewangan Islam.
“TH juga mengambil maklum pengesyoran Jawatankuasa RCI berkaitan perubahan dasar dalam aspek pengurusan haji, khususnya kelayakan haji dan tempoh menunggu giliran haji,” katanya dalam Sidang Khas mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH di Dewan Rakyat.
Dr. Zulkifli berkata, amalan zakat TH turut dibentangkan dan diperakui Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada Jun 2024 sebelum disembah maklum kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Oktober tahun sama.