Malaysia buka ruang perkukuh kerjasama pertahanan dengan Iran

Foto FB Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Malaysia bersedia memperluas dan memperkukuh kerjasama pertahanan yang lebih substantif bersama Iran berasaskan hubungan persahabatan  erat antara kedua-dua negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbualan telefon antara Menteri Pertahanan Malaysia dan Pemangku Menteri Pertahanan Iran bagi memperkukuh hubungan pertahanan.
  • Malaysia berharap Memorandum Persefahaman kerjasama pertahanan dapat dimuktamadkan sebagai instrumen rasmi memperkukuh hubungan.
  • Mengalu-alukan penyertaan Iran di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi sebagai platform memperluas kerjasama pertahanan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu disampaikannya menerusi perbualan telefon dengan Pemangku Menteri Pertahanan dan Logistik Angkatan Tentera Republik Islam Iran, Brigadier Jeneral Seyed Majid Ebn-e-Reza.

Tambahnya, Malaysia turut berharap Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan dapat dimuktamadkan sebagai instrumen rasmi untuk memperkukuh hubungan pertahanan kedua-dua negara.

“Saya turut mengalu-alukan penyertaan Iran dalam Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) tahun hadapan sebagai platform untuk memperluas hubungan dan meneroka kerjasama pertahanan yang lebih luas,” katanya menerusi hantaran di Facebook

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamed Khaled turut menyampaikan ucapan takziah atas pemergian para pemimpin, anggota keselamatan dan rakyat Iran yang terkorban dalam konflik yang berlaku di Asia Barat, selain berharap gencatan senjata dapat dikekalkan dan penyelesaian melalui dialog serta diplomasi terus diberi ruang demi keamanan dan kestabilan rantau.

Beliau turut menyifatkan Iran telah memperlihatkan daya tahan termasuk melalui keupayaan pertahanan yang dibangunkan sendiri.

“Malaysia turut menghargai kerjasama dan layanan baik Iran dalam memudah cara laluan sepanjang tempoh konflik. Keselamatan laluan maritim termasuk di Selat Hormuz perlu terus terpelihara,” katanya.- BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.