
PUTRAJAYA, 10 Ogos – Sebarang perkongsian kandungan atau kenyataan menerusi platform media sosial, Halal Inquiry Company Directpry (HICD), tidak mempunyai kaitan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
- Kenyataan, ulasan atau penilaian HICD tidak mewakili pendirian, keputusan atau kenyataan rasmi JAKIM.
- HICD tidak dilantik, diiktiraf atau diberi kuasa oleh JAKIM berkaitan Pensijilan Halal Malaysia.
- Penyampaian isu halal hendaklah berasaskan fakta, bertanggungjawab, dan tidak menimbulkan kekeliruan atau generalisasi.
- Orang ramai digalakkan mengesahkan status Pensijilan Halal melalui Portal Rasmi Halal Malaysia dan saluran rasmi JAKIM.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee menegaskan, platform tersebut tidak pernah dilantik, diiktiraf atau diberi kuasa oleh JAKIM dalam apa-apa kapasiti berkaitan Pensijilan Halal Malaysia.
“Sebarang kenyataan, pandangan, ulasan, semakan, siasatan, penilaian atau kesimpulan yang dibuat serta disiarkan oleh HICD adalah atas kapasiti pihak berkenaan sendiri dan tidak mewakili pendirian, keputusan atau kenyataan rasmi JAKIM.
“Usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan halal hendaklah sentiasa berasaskan fakta, dibuat secara bertanggungjawab dan tidak menimbulkan kekeliruan, prasangka atau generalisasi terhadap mana-mana individu, kaum atau komuniti,” Katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan.
Perbezaan budaya, bahasa dan latar belakang masyarakat merupakan sebahagian daripada kepelbagaian yang membentuk keharmonian Malaysia. Sehubungan itu, penyampaian berkaitan isu halal hendaklah dilakukan dengan penuh tanggungjawab, hikmah dan berhemah.
JAKIM menyeru orang ramai mendapatkan pengesahan berkaitan status Pensijilan Halal Malaysia melalui Portal Rasmi Halal Malaysia serta saluran rasmi JAKIM.