
KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat berkuat kuasa 5 petang hari ini, sekali gus mengosongkan kerusi Parlimen Subang.
- Hantar surat peletakan jawatan bertarikh 5 Ogos kepada Yang Dipertua, dibuat secara sukarela.
- Berikan tiga hari bekerja kepada pegawai Parlimen untuk membuat persiapan berkaitan kekosongan kerusi.
- Gelaran Yang Berhormat dikeluarkan daripada papan iklan, papan tanda dan surat-menyurat mulai bulan depan; beliau merakamkan penghargaan.
Dalam surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bertarikh 5 Ogos 2026, Wong Chen memaklumkan peletakan jawatan itu dibuat secara sukarela.
“Pada 5 Ogos, saya bertemu Yang Dipertua Dewan Rakyat dan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen, yang berkuat kuasa pada 10 Ogos jam 5 petang,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Beliau berkata, langkah itu dibuat bagi memberi tempoh tiga hari bekerja kepada pegawai Parlimen untuk membuat persiapan berhubung kekosongan kerusi Parlimen Subang.
Wong Chen berkata, persetujuan bersama dicapai supaya butiran mengenai peletakan jawatan itu tidak didedahkan sehingga pukul 5 petang hari ini.
Beliau turut memaklumkan gelaran Yang Berhormat akan dikeluarkan daripada semua papan iklan, papan tanda dan surat-menyurat berkaitan mulai bulan depan.
Dalam surat peletakan jawatan itu, Wong Chen turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat serta seluruh warga Parlimen Malaysia atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama sepanjang tiga penggal beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.
Wong Chen dijadual mengadakan sidang media pada pukul 11 pagi, Rabu ini.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Subang pada 2013 hingga 2026.