
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Kawasan biodiversiti di Terengganu kini diperkukuh dengan penggerakan 511 ranger yang menjadi barisan hadapan dalam membanteras pencerobohan haram serta aktiviti pengambilan hasil hutan dan hidupan liar.
- Ranger komuniti dan pembantu penguat kuasa memantau kira-kira 35,000 hektar Taman Negeri; 330 pembantu, 181 ranger berkhidmat sepenuh masa.
- Rondaan berkala tiga hingga empat kilometer setiap hari, ditempatkan di pos strategik; aktiviti direkod menerusi sistem pintar untuk pemantauan.
- Kerajaan negeri memohon penambahan ranger susulan pewartaan Pulau Bidong sebagai Taman Negeri; kuasa kawalan agensi diperluas daripada 10 kepada 16 jabatan.
Langkah itu sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kelestarian kawasan sensitif terus terpelihara melalui pemantauan lebih sistematik dan bersepadu.
Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Datuk Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman berkata, ranger komuniti memainkan peranan penting dalam membantu penguat kuasa memantau kawasan Taman Negeri yang meliputi kira-kira 35,000 hektar.
“Daripada jumlah itu, seramai 330 merupakan pembantu penguat kuasa, manakala 181 lagi terdiri daripada ranger komuniti yang berkhidmat secara sepenuh masa di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerusi kontrak tahunan.
“Rondaan dilaksanakan secara berkala dengan anggota ditempatkan di beberapa pos strategik, selain menjalankan rondaan antara tiga hingga empat kilometer setiap hari bagi memastikan kawasan sentiasa berada dalam keadaan terkawal.
“Setiap aktiviti rondaan direkod menggunakan sistem pintar sebelum data dimuat naik bagi tujuan pemantauan dan rekod operasi, sekali gus meningkatkan kecekapan serta ketelusan penguatkuasaan,” katanya selepas Sambutan Hari Renjer Sedunia 2026 peringkat negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan penambahan ranger susulan pewartaan Pulau Bidong sebagai Taman Negeri pada 16 Julai lalu, memandangkan kawasan pulau termasuk perairan sekitarnya memerlukan pemantauan rapi.
Terdahulu, beliau yang juga Pengarah Pelancongan Negeri hadir pada Majlis Sambutan Hari Renjer Sedunia Peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pada majlis sama, peluncuran logo baharu Program Kenyir Ranger turut diadakan sebagai usaha memperkukuh peranan pasukan dalam penguatkuasaan kawasan Taman Negeri.
Dalam pada itu, keupayaan agensi berkaitan turut diperkasa dengan penambahan daripada 10 kepada 16 jabatan yang mempunyai kuasa kawalan, sekali gus mempertingkatkan keberkesanan pemantauan secara bersepadu mengikut bidang kuasa masing-masing.