Perpaduan ASEAN penting pastikan rantau kekal aman, stabil

Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Penubuhan ASEAN yang memasuki hampir enam dekad membuktikan perpaduan antara negara anggota bukan lagi sekadar idealisme diplomatik, sebaliknya satu keperluan bagi memastikan rantau ini kekal aman, stabil dan berdaya tahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesatuan antara negara anggota ASEAN asas penting memperkukuh keupayaan menangani cabaran serantau dan global kompleks.
  • ASEAN perlu bersatu dan berbicara dengan satu suara untuk memperkuat kedudukan dalam rundingan ekonomi dan geopolitik antarabangsa.
  • Kerjasama dalam keselamatan makanan, tenaga boleh baharu, teknologi, ekonomi digital, pendidikan dan pembangunan belia jadi fokus tindakan bersama.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Dr Samsul Farid Samsuddin berkata, kesatuan dalam kalangan 11 negara anggota ASEAN menjadi asas penting untuk memperkukuh keupayaan pertubuhan itu dalam menangani cabaran serantau dan global yang semakin kompleks.

Menurutnya, cabaran berkenaan bukan sahaja melibatkan konflik antara negara, malah merangkumi perubahan iklim, krisis makanan, gangguan rantaian bekalan, ancaman keselamatan siber serta ketidaktentuan ekonomi global.

“Semua cabaran ini menunjukkan bahawa tiada satu negara ASEAN yang mampu menghadapinya secara persendirian. Oleh sebab itu, ASEAN perlu bersatu dalam perkara yang menjadi kepentingan bersama.

“Apabila ASEAN bercakap dengan satu suara, kedudukan kita dalam rundingan ekonomi dan geopolitik antarabangsa menjadi lebih kuat. Jika kita berpecah, kita berisiko menjadi pihak yang hanya menerima kesan daripada persaingan kuasa-kuasa besar ini,” katanya ketika dihubungi RTM.

Mengulas lanjut, katanya, prinsip ASEAN Centrality juga kekal relevan sebagai penghubung dan platform dialog yang dipercayai oleh semua pihak.

Jelasnya, rantau ini perlu memanfaatkan perbezaan hubungan dan kepentingan setiap negara anggota dengan kuasa-kuasa besar sebagai satu kekuatan untuk kepentingan bersama.

“Antaranya melalui kerjasama dalam keselamatan makanan, tenaga boleh baharu, teknologi, ekonomi digital, pendidikan dan pembangunan belia,” katanya lagi.

Semalam, ASEAN menyambut ulang tahun ke-59 dengan tema “Mengemudi Masa Depan Kita Bersama” selaras dengan kepengerusian Filipina bagi ASEAN pada tahun ini.

Acara itu diadakan di Ibu Pejabat ASEAN di Jakarta, Indonesia, dengan menghimpunkan komuniti diplomatik, wakil negara anggota ASEAN, entiti dan pusat ASEAN serta rakan kongsi.

Sambutan tersebut adalah bagi memperbaharui komitmen bersama terhadap perpaduan, daya tahan, kerjasama dan masa depan rantau yang dikongsi bersama.

Ia sekali gus mencerminkan tekad pertubuhan itu untuk bersama-sama mengemudi cabaran baharu dan memanfaatkan peluang sebagai satu Komuniti, berpandukan Visi Komuniti ASEAN 2045.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.