
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Usaha meningkatkan pertumbuhan gaji pekerja wajar diberi tumpuan dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan peningkatan pendapatan rakyat seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara.
- Memerlukan pendekatan menyeluruh seluruh kerajaan untuk menangani cabaran pasaran buruh dan memperbaiki pertumbuhan gaji.
- Kuasa tawar pekerja lemah dan persaingan tenaga kerja asing yang menerima gaji lebih rendah menyumbang kepada pertumbuhan gaji yang perlahan.
- Pertumbuhan KDNK belum diterjemah kepada kenaikan gaji; inisiatif seperti Dasar Gaji Progresif dan gaji minimum perlu diperkukuh.
- Konsep gaji sara hidup BNM sekitar RM3,100 boleh dijadikan panduan untuk memastikan pendapatan mencukupi bagi kehidupan lebih selesa.
Ketua Penyelidikan Ekonomi CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, Ahmad Nazmi Idrus berkata, isu berkenaan memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh kerajaan, terutama dalam menangani cabaran yang masih membelenggu pasaran buruh.
Menurut beliau, antara faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan gaji yang perlahan ialah kuasa tawar-menawar pekerja yang masih lemah, selain persaingan daripada tenaga kerja asing yang sanggup menerima kadar gaji lebih rendah.
Beliau berkata, meskipun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang kukuh sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini, pertumbuhan itu masih belum diterjemahkan kepada peningkatan gaji pekerja pada kadar yang sewajarnya.
Katanya, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk Dasar Gaji Progresif, gaji minimum dan Majlis Perundingan Gaji Negara, namun usaha berkenaan perlu diperkukuh bagi memastikan isu pertumbuhan gaji ditangani secara lebih serius.
“Salah satu fokus Belanjawan mungkin adalah untuk menaikkan gaji rakyat. Bila kita tengok kadar KDNK Malaysia bagus, 5.8 peratus untuk suku kedua, tapi ia tidak diterjemahkan kepada gaji pekerja.
“Saya fikir kerajaan perlu lebih serius untuk menangani masalah gaji yang dihadapi rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita RTM pada Persidangan Pelaburan Syariah Bursa Malaysia 2026 yang berlangsung baru-baru ini.
Ahmad Nazmi berkata, konsep gaji sara hidup yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) juga boleh dijadikan panduan bagi memastikan rakyat memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk menjalani kehidupan dengan lebih selesa.
“BNM ada membuat pengiraan mengenai konsep gaji sara hidup. Saya fikir angka terkini ialah sekitar RM3,100 bagi individu bujang. Bagi pasangan, sudah tentu jumlahnya lebih tinggi.
“Sekurang-kurangnya kita mahu rakyat Malaysia mempunyai gaji yang mencukupi untuk menampung kehidupan mereka dengan selesa.
“Tidak semestinya kita perlu menetapkan gaji minimum pada paras tersebut, tetapi sudah tentu ia adalah sesuatu yang patut kita usahakan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Nazmi menjangkakan ringgit terus mengukuh dan berpotensi mencecah paras RM3.95 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini.
Menurut beliau, pengukuhan ringgit disokong prestasi eksport yang kukuh serta beberapa faktor luaran positif, termasuk harga minyak dan komoditi yang kekal tinggi.
Katanya, keadaan itu dijangka terus menyokong prestasi eksport negara, khususnya sektor berasaskan komoditi.