Skate Asia platform lahirkan atlet luncur ais negara

Foto BERNAMA

SUBANG JAYA, 7 Ogos – Kejohanan Skate Asia 2026 terus menjadi platform penting dalam pembangunan sukan luncur ais negara, khususnya dalam memberikan pendedahan kepada atlet muda sebelum mereka melangkah ke pentas antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • ISAM anggap Skate Asia medan pembangunan bakat menerusi pertandingan Ice Skating Institute untuk atlet belum beraksi di peringkat ISU.
  • Atlet muda dibangunkan untuk mewakili Malaysia dalam Sukan SEA, Sukan Asia, Olimpik Remaja dan Olimpik Musim Sejuk.
  • Contoh kejayaan: Fang Ze Zeng, pemenang pingat emas Sukan SEA 2025, dicungkil melalui platform Skate Asia.
  • Skate Asia 2026 menghimpunkan 1,425 atlet, 4,051 acara, 40 gelanggang dan peserta dari lebih 15 negara di Sunway Pyramid.

Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM), Fadzli Johan berkata, kejohanan itu menjadi medan pembangunan bakat apabila memberi peluang kepada atlet yang belum beraksi di bawah International Skating Union (ISU) menimba pengalaman menerusi pertandingan Ice Skating Institute (ISI).

“Kita melahirkan remaja yang berpotensi mewakili negara di peringkat lebih tinggi pada masa hadapan melalui kejohanan ini.

“Atlet yang ada akan terus dibangunkan sebagai atlet pembangunan negara untuk mewakili Malaysia dalam Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Olimpik Remaja Musim Sejuk dan juga Sukan Olimpik Musim Sejuk,” katanya ketika ditemui RTM.

Menurut beliau, pemenang pingat emas Sukan SEA 2025, Fang Ze Zeng merupakan antara atlet yang dicungkil menerusi platform berkenaan sebelum terus dibangunkan ke peringkat lebih tinggi.

Skate Asia 2026 menghimpunkan seramai 1,425 atlet yang bersaing dalam 4,051 acara, melibatkan 40 gelanggang luncur ais dari lebih 15 negara, sekali gus menjadikan edisi kali ini antara yang terbesar pernah dianjurkan.

Kejohanan yang berlangsung di Sunway Pyramid itu bermula semalam dan akan berakhir pada 16 Ogos ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.