
MASJID TANAH, 7 Ogos – Sekolah pondok di seluruh negara diberi penekanan dalam memperkasa pendidikan menerusi penyediaan latihan kecerdasan buatan (AI) dan komputer.
- Pertemuan dengan Syeikh Wazir Al-Makki untuk merangka pembaikan dan sokongan kepada sekolah pondok.
- Kerajaan meningkatkan bantuan sejak 2022 kepada sekolah pondok, maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat.
- Pendekatan bagi memastikan institusi pendidikan Islam mendapat perhatian sewajarnya selain pembangunan aliran pendidikan lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu dilaksanakan seiring usaha menambah baik kemudahan institusi berkenaan agar tidak terus ketinggalan.
“Tadi saya jumpa Syeikh Wazir Al-Makki yang mengetuai sekolah pondok seluruh negara. Kita baiki sekolah pondok dan beri latihan AI serta komputer di sekolah pondok.
“Sekarang sekolah pondok menerima bantuan kerana kita santuni mereka. Kalau tidak, sekolah pondok akan terus ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Gelombang MADANI di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini.
Menurut Datuk Seri Anwar, kerajaan turut meningkatkan bantuan kepada sekolah pondok, maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat sejak mengambil alih pentadbiran pada 2022.
Jelas beliau, pendekatan itu bagi memastikan institusi pendidikan Islam menerima perhatian yang sewajarnya, di samping pembangunan pendidikan aliran lain.