
PUTRAJAYA, 7 Ogos – Malaysia dan Hungary akan memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian serta keterjaminan makanan menerusi penyelidikan, perdagangan, pelaburan dan perkongsian teknologi.
- Hubungan erat membuka peluang kepada petani, penternak, penyelidik dan usahawan agromakanan tempatan.
- Perbincangan rasmi termasuk penyertaan Hungary di MAHA 2026 dan pelaksanaan mesyuarat pertama Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Hungary.
- Kerjasama penyelidikan MARDI dengan MATE melalui pertukaran Erasmus+ serta kajian genetik, teknologi pembiakan dan produk ternakan berkualiti tinggi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, hubungan erat kedua-dua negara berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada petani, penternak, penyelidik dan usahawan agromakanan tempatan.
Sekali gus, menyokong pertumbuhan sektor pertanian negara serta memperkukuh keterjaminan makanan.
Jelasnya, perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Duta Hungary ke Malaysia, Dr Sándor Sipos, di sini, pada Khamis.
“Antara yang dibincangkan ialah penyertaan Hungary dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 serta pelaksanaan mesyuarat pertama Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Hungary,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kedua-dua pihak turut meneliti kerjasama penyelidikan antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan Universiti Pertanian dan Sains Hayat Hungary (MATE).
Menurut Datuk Seri Mohamad lagi, kerjasama teknikal antara kedua-dua institusi menunjukkan perkembangan positif menerusi program pertukaran penyelidik Erasmus+ serta penyelidikan dalam bidang genetik, teknologi pembiakan dan pembangunan produk ternakan berkualiti tinggi.