Potensi Ultra 5G pacu transformasi pelbagai sektor utama

Rangkaian 5G juga berpotensi dalam aspek keselamatan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Penggunaan teknologi 5G Advanced atau Ultra 5G membuka potensi besar dalam memacu transformasi pelbagai sektor utama, termasuk pertanian, peruncitan serta kesihatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ultra 5G yang memanfaatkan AI dan robotik meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi dalam pelbagai sektor.
  • Peniaga dapat mengurus inventori secara efisien serta mengenal pasti aliran kecenderungan pengguna melalui capaian Ultra 5G.
  • Rangkaian 5G menyokong keselamatan melalui pemantauan dron dan MCMC sedia bekerjasama dengan KDN tingkatkan liputan sempadan.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan penerapan teknologi berkenaan yang memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan robotik berupaya meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengoperasian pelbagai sektor.

“Potensinya sangat tinggi, banyak dan baik untuk membantu mengurangkan sama ada kesesakan ataupun tugasan bagi jururawat di wad untuk membantu meningkatkan produktiviti di ladang-ladang sawit dan sebagainya,” katanya selepas melancarkan Hab Platform Inovasi Perusahaan U Mobile.

Beliau turut memaklumkan menerusi capaian Ultra 5G, peniaga berupaya menguruskan inventori secara efisien selain mengenal pasti aliran kecenderungan pengguna.

Selain itu, rangkaian 5G juga berpotensi dalam aspek keselamatan seperti pemantauan menerusi penggunaan dron.

“Saya dimaklumkan di beberapa lokasi telah memanfaatkan teknologi ataupun capaian 5G dengan penggunaan dron bagi tujuan pemantauan termasuk di kawasan-kawasan sempadan.

“Saya menyarankan agensi yang berkaitan dapat menilai kesesuaian pelaksanaan teknologi itu khasnya Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“MCMC juga sedia bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan liputan internet di kawasan sempadan dipertingkatkan sekali gus menyokong penggunaan teknologi pemantauan tersebut,”jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.