
SHAH ALAM, 6 Ogos – Seorang wakil syarikat didenda RM75,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan kerana memberi suapan RM15,000 kepada seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengelakkan tindakan undang-undang terhadap premis pemprosesan sisa elektronik (e-waste) haram, tahun lepas.
- Mahkamah memerintahkan hukuman penjara dua tahun sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
- Wakil Sumber Bumi Sdn. Bhd didakwa di bawah Seksyen 214 kerana menyerahkan wang kepada pegawai JAS pada 25 Februari 2025.
- Wang sitaan dilucuthakkan kepada Kerajaan melalui Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud turut memerintahkan Chan Suit Seong, 61 tahun dipenjara dua tahun, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut perdakwaan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan, tertuduh yang merupakan wakil Sumber Bumi Sdn. Bhd didakwa menyerahkan wang tunai RM15,000 kepada seorang pegawai JAS Putrajaya pada 25 Februari 2025.
Suapan itu sebagai balasan agar pegawai berkenaan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap premis syarikat itu yang didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Mahkamah turut memerintahkan wang sitaan berjumlah RM15,000 dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia melalui Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi, manakala tertuduh diwakili peguam S. Preakas.