
BAITULMAQDIS, 6 Ogos – Tentera Israel akan meneruskan tindakan kejamnya di Semenanjung Gaza secara proaktif.
- Eyal Zamir berkata tentera fokus menghapuskan ancaman dan memburu pihak bertanggungjawab serangan 7 Oktober.
- Netanyahu menolak pelan Gaza disokong Washington; Israel kemukakan pindaan dan berdepan tekanan sayap kanan meminta undi baharu.
- Hamas komited kepada pelan penyerahan senjata; jurucakap menggesa AS dan Mladenov mendesak Israel mematuhi persetujuan.
Ketua tentera Israel, Eyal Zamir berkata, fokus terarah kepada usaha menghapuskan ancaman dan melindungi penduduknya.
“Tentera Israel akan terus memburu pihak yang dipertanggungjawabkan atas serangan pada 7 Oktober,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata Israel tidak bersetuju dengan pelan bagi Gaza yang disokong Washington.
Netanyahu berkata, pasukan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah menyerahkan draf pelan itu kepada Israel, namun Israel mengemukakan beberapa pindaan.
Lembaga Keamanan yang ditubuhkan Trump sebelum ini memberi jaminan bahawa tentera Israel hanya perlu meninggalkan kedudukan semasa di Gaza selepas Hamas melucutkan senjata sepenuhnya.
Hamas pula mengulangi komitmen terhadap pelan tindakan yang diumumkan lembaga berkenaan minggu lalu, termasuk penyerahan senjata dan pengunduran tentera Israel.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem menggesa pentadbiran Trump dan wakil tinggi Lembaga Keamanan bagi Gaza, Nickolay Mladenov, mendesak Israel mematuhi persetujuan serta mengambil langkah praktikal ke arah pelaksanaannya.
Netanyahu pada masa sama berdepan tekanan daripada kelompok sayap kanan dalam gabungan pemerintahannya, dengan dua menteri meminta undian baharu diadakan bagi menolak pelan itu.
Media Israel turut melaporkan tentera kini perlu mendapatkan kebenaran ketua angkatan tentera sebelum melancarkan serangan di Gaza, kecuali ketika berdepan ancaman segera.
Serangan tentera Zionis Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023, telah meragut nyawa lebih 73,000 rakyat Palestin. – AFP